Halaman

28 February 2011

Pengguna internet di Terengganu paling tinggi.

Oleh: Suriati Ali


Semangat 1 Malaysia, 1 Terengganu - empat murid sekolah DUN Ladang berlainan kaum berkongsi e-Book selepas majlis penyerahan oleh Dato' Seri Ahmad Said di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Terengganu mencatatkan pengguna paling tinggi di wilayah Pantai Timur melanggan perkhidmatan jalur lebar sekaligus membuktikan masyarakat di negeri ini `celik IT’ dan semakin berkemampuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata perkembangan positif ini membuktikan rakyat di Terengganu tidak ketinggalan dengan arus pembangunan terutama berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Lebih membanggakan, ia mampu mengatasi negeri jiran iaitu Kelantan dan Pahang dalam penggunaan internet dan melanggan perkhidmatan jalur lebar.

“Apabila wujud kelas maya yang bakal dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan, iaitu sekurang-kurang satu sekolah, stastitik sedia ada akan meningkat. Ini kerana pelajar, guru mahu pun masyarakat luar boleh menggunakan talian internet kelas maya jika berada berdekatan,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah kawasan DUN Ladang.

Seramai 844 pelajar Tahun Lima membabitkan lapan sekolah di DUN itu menerima e-Book secara percuma yang diagihkan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad.



Hadir sama, Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Zubir Embong, Pegawai Pembangunan DUN (PPD), Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Sementarai itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengharapkan supaya wakil rakyat dan PPD di setiap DUN mengeluarkan peruntukan antara RM30,000 hingga RM90,000 bagi menyediakan kelas maya di kawasan masing-masing.



“Langkah ini cukup penting bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri supaya di setiap DUN, sekurang-kurangnya mempunyai satu kelas maya. Pilihan sekolah bergantung kepada wakil rakyat dan PPD itu sendiri.

“Setiap kelas maya memerlukan antara RM25,000 hingga RM30,000, sekiranya di sekolah itu mempunyai tiga kelas, kos diperlukan berjumlah antara RM75,0000 hingga RM90,000,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengagihkan RM1 juta di bawah peruntukan projek-projek kecil di setiap DUN. Oleh itu, dia cukup mengharapkan pemimpin setempat mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk tujuan ini.