Halaman

24 February 2011

Pemimpin Umno Perlu Wujud Kerjasama Erat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

Pegawai Pembangunan Parlimen, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan wakil-wakil rakyat perlu mewujudkan kerjasama erat bagi memastikan rakyat mendapat faedah maksimum daripada setiap program dan projek yang dilaksanakan kerajaan.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diselesaikan pihak berkenaan jika pemimpin-pemimpin di setiap kawasan bekerjasama antara satu sama lain.

“Justeru itu, kita semua perlu berganding bahu bagi membantu rakyat agar hasrat pucuk pimpinan parti mahu melihat negeri ini maju dan bebas daripada belenggu kemiskinan mencapai matlamat,” katanya dalam ucapan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Primula Beach Resort, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang merangkap Ketua Pemuda Umno Negeri, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin.

Kira-kira 700 orang termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), turut hadir di majlis tersebut.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, jika pemimpin peringkat bahagian tidak bekerjasama, proses pembangunan yang dirancang Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat di kawasan tersebut tidak akan lancar.

Pada majlis itu, enam di kaawsan parlimen Marang diberi hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,000 kerana pelbagai kejayaan yang diraih sama ada peringkat negeri atau kebangsaan.

JKKK Alor Limbat menerima wang tunai RM2,000 kerana menerima Anugerah Desa Cemerlang peringkat Kebangsaan 2010 (tempat kedua) manakala JKKK Bukit Sawa juga menerima RM2,000 kerana menang tempat kedua Anugerah Kitchen Garden peringkat kebangsaan.

TEGANUKITA