Halaman

08 February 2011

MB sambut pelajar pulang dari Mesir

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menyambut kepulangan pelajar Mesir yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seramai 30 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir selamat tiba di bandar Kuala Terengganu malam ini, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Para pelajar berkenaan yang dibawa menaiki bas Yayasan Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tengah hari tadi, tiba di Kediaman Seri Iman, kira-kira jam 10.20 malam.

Mereka disambut dengan tangisan keluarga masing-masing yang sebahagiannya menunggu sejak pukul 9 malam lagi.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah YT, Haji Aziz Mamat, turut menyambut ketibaan pelajar tersebut dan mereka turut menikmati hidangan makan malam di Kediaman Seri Iman.

Sehingga ini, 85 pelajar sudah selamat sampai ke Terengganu selepas mereka dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat milik pelbagai syarikat penerbangan sejak 6 Februari lalu.



Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk membawa 377 pelajar yang masih berada di Jeddah dengan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Kerajaan negeri berharap urusan penghantaran pulang pelajar ke tanah air dapat diselesaikan secepat mungkin, bagaimanapun ia bergantung kepada keupayaan pesawat yang disediakan,” ujarnya.

TEGANUKITA