Halaman

07 February 2011

MB Rayu Pelajar Terengganu Pulang

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad Said ditemani Dato' Rosol Wahid menyampaikan e-Book kepada murid Tahun 5 dalam kawasan DUN Ajil di SMK Bukit Diman, Ajil.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merayu kira-kira 2,000 pelajar Malaysia khususnya anak Terengganu yang masih berada di Mesir supaya meninggalkan negara bergolak itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Terdapat maklumat terkini ada pelajar yang tidak mahu pulang. Kita tidak boleh cakap apa dan kita tidak boleh paksa mereka. Cuma kita merayu mereka kalau boleh, pulanglah. Walaupun keadaan (di Mesir ) sekarang agak tenang sedikit, kita takut berlaku gelombang kedua atau sebagainya,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas Majlis Pembahagian e-Book 2011 Dewan Undangan Negeri (Dun) Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Ajil, hari ini (7 Februari).



Turut hadir, yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid.

Menteri Besar berkata, pelajar Malaysia dan Terengganu khususnya tidak wajar lagi berada di negara itu memandangkan universiti sudah mengeluarkan surat pengisytiharan menutup pengajian, sementara keadaan yang tegang di negara itu kembali pulih seperti sediakala.

Dato’ Seri Ahmad juga meminta supaya pelajar anak Terengganu yang masih berada di sana segera menghubungi bilik operasi yang diwujudkan di Jeddah bagi memudahkan urusan penghantaran pulang dan mengemaskini rekod jumlah pelajar di negara itu dari masa ke semasa.

“Kalau sesuatu insiden tidak diingini berlaku, mereka terpaksa menanggung sendiri memandangkan kerajaan negeri sudah memberi peluang dan menyediakan kenderaan untuk membawa balik mereka. Bagaimanapun, jika mereka berasa yakin, kita tidak mampu membuat apa-apa dan kita tidak mahu dipersalahkan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.



Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad akan meneliti rancangan membawa pensyarah perubatan dari Mesir ke Terengganu untuk memastikan pengajian anak Terengganu dalam bidang itu dapat diteruskan walaupun diisytiharkan penangguhan pengajian sepanjang pergolakan berkenaan.

Katanya, jika pelajar terbabit bercuti sehingga setahun dan berada di kampung pastinya akan merugikan kerajaan negeri khususnya pelajar yang mendapat pembiayaan penuh Kerajaan Terengganu dalam pengajian perubatan di Mesir .

Menteri Besar berkata, jika pensyarah perubatan berkenaan bersetuju untuk menjalankan kelas khas serta peperiksaan sebagaimana pengajian mereka, kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan khusus untuk menyelesaikan masalah itu.

Berdasarkan rekod, terdapat 247 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dan 323 pelajar tajaan Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang menuntut di Mesir, selain sejumlah pelajar yang menuntut di negara itu menerusi pembiayaan sendiri.


TEGANUKITA