Halaman

12 February 2011

Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Kesihatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai ditemani Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek melawat pesakit di Hospital Kemaman.

Kerajaan negeri prihatin terhadap aspek kesihatan dan perbelanjaan yang besar dikeluarkan pada setiap tahun bagi menambah nilai kemudahan kesihatan yang disediakan Kerajaan Pusat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun lalu peruntukan RM7.6 juta dikeluarkan kerajaan negeri bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik.

Bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Kemaman pula, katanya, kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan tanah seluas 50 ekar di Bandar Baru Kijal bagi membina sebuah hospital baru.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan hospital baru ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan, hari ini.

Pada masa yang sama, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi pihak pengurusan Hospital Kemaman dengan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktara kemudahan hospital berkenaan.



Beliau berkata, sudah sewajarnya Kemaman mendapat hospital baru kerana ia merupakan daerah kedua terbesar di negeri ini dan kapasiti penduduk yang agak padat.

Tambahan pula, katanya, Kemaman kini pesat membangun dan merupakan penyumbang ekonomi terbesar negara ini di segi hasil petroleum dan gas.

TEGANUKITA