Halaman

23 February 2011

Kerajaan Mahu Lebih Banyak SBT Di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Ahmad Razif berbincang sesuatu mengenai Kompleks Imtiaz Besut.

Kerajaan negeri mahu lebih banyak sekolah di Terengganu diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) supaya para pelajar mendapat faedah yang maksimum untuk pembelajaran mereka, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pada tahun ini pihaknya berharap sebuah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong akan diiktiraf sebagai SBT selepas Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Pada masa ini hanya dua buah sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT iaitu SM Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Cukai, Kemaman.

“Pada tahun ini Kementerian Pelajaran baru mengumumkan 23 sekolah sebagai SBT sedangkan sepatutnya 30 sekolah diberi pengiktirafan tersebut.

“Oleh itu, kita harap SMK Lembah Bidong akan termasuk salah satu daripada tujuh sekolah yang belum diumumkan sebagai SBT,” katanya kepada wartawan di Besut, semalam.

YB Ahmad Razif berharap pada tahun depan lebih banyak sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT.

“Kita telah mencalonkan semua SM Imtiaz iaitu SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Kemaman, SM Imtiaz Dungun dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di iktiraf sebagai SBT,” ujar beliau.

TEGANUKITA