Halaman

17 February 2011

Kelas Khas Rekrut Hafiz

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Haji Khazan Che Mat

Mulai tahun ini kerajaan negeri mewujudkan satu kelas khas di sepuluh Sekolah Menengah Agama (SMA) negeri dalam usaha merekrutkan setiap pelajar sebagai hafiz sebelum tamat tingkatan lima.

Pelajar kelas berkenaan diwajibkan menghafaz enam juzuk setahun mulai tingkatan satu dan mereka dijangka mampu menamatkan 30 juzuk al-Quran sebaik tamat tingkatan lima.

SMA terlibat adalah SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk; SMA Khairiah, SMA Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu; SMA Marang; SMA Mahmudiah, Kuala Berang; SMA Setiu; SMA Ittifakiah, Jerteh; SMA Maarif, Besut; SMA Sultan Ismail, Dungun dan SMA Al- Falah, Kemaman.

“Kerajaan sedar harapan masyarakat teralu tinggi untuk melihat anak-anak mereka menjadi hafiz al- Quran bila tamat sekolah menengah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Agama negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Seminar Pemantapan Ummah Guru-guru Sekolah Menengah Terengganu yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (17 Februari).

Hadir sama, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Shaikh Harun Ismail; Penolong Pesuruhjaya Pembangunan Sumber Manusia, Encik Zahari Sulong dan 340 guru dari SMA, SMK, Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) dan Institut Al-Quran Terengganu (IQT) serta guru-guru dari Timur Tengah.

“Kewujudan kelas-kelas al-Quran di SMA, mampu meningkatkan jumlah pelajar yang hafiz selain pelajar hafiz dari SMI dan IQT,” katanya.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi penekanan kepada Bahasa Arab dan penekanan terhadap al-Quran supaya apabila mereka berada dalam masyarakat, sekurang-kurangnya mereka boleh menjadi pembantu imam dan bilal di 469 masjid yang terdapat di seluruh Terengganu.

Sementara itu, program pemantapan Bahasa Arab dan al-Quran yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu oleh kerajaan negeri dengan mengambil tenaga pengajar dari negara Timur Tengah berjaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab.

Seramai 27 guru didatangkan dari Mesir, Sudan dan Syria ditempatkan di sepuluh Sekolah Menengah Agama (SMA) negeri untuk mengajar Bahasa Arab dan al-Quran dalam tempoh dua tahun mereka berada di negeri ini.

Di samping mengajar di kelas, guru berkenaan turut dilantik sebagai warden asrama bagi memberi peluang untuk mereka bergaul dengan pelajar dengan lebih dekat serta secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar.

TEGANUKITA