Halaman

15 February 2011

Kefahaman mengenai Islam berbeza

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Tengku Seri Laksamana Raja bersama Menteri Besar, para Exco dan Pegawai Kanan Kerajaan berselawat ketika Sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat negeri di Stadium Negeri. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf dan latarbelakang kehidupan sama ada yang masih kecil, dewasa atau warga emas.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Seri Laksamana Raja, berkata jika seseorang itu masih belajar, kadang-kadang mereka tidak memahami langsung apa itu Islam, kecuali sedikit maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama.

“Mereka mewakili sebahagian besar daripada keseluruhan umat Islam, mudah terpengaruh dengan adat budaya luar di mana bagi mereka, apa yang diikuti itu adalah benar dan betul.

“Golongan yang mendapat pendidikan barat pula, sudah tentu mereka tidak mendapat pendidikan yang sempurna iaitu berteraskan wahyu, tetapi sebahagian besar daripada mereka ini mempunyai kedudukan yang baik dan tinggi dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat negeri Terengganu yang bertemakan 1 Malaysia 1 Ummah di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Hampir 4,000 peserta melibatkan 110 pasukan menyertai perarakan yang bermula dari Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, melalui bulatan Ladang dan berakhir di lokasi itu.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjuarai pertandingan perarakan bagi kategori jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun; Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (kategori jabatan Kerajaan Persekutuan dan badan berkanun Persekutuan) dan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin pula kategori pelajar sekolah menengah.

Manakala Akademi Bomba Malaysia Negeri Terengganu memenangi kategori badan-badan beruniform. Semua pasukan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta sijil penghargaan.



Tengku Laksamana Raja turut memberitahu, umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan. Tidak ketinggalan musuh sesama sendiri iaitu manusia.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar selamat daripada tipu daya musuh.

“Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka melakukan pelbagai usaha untuk merosak dan menghancurkan walaupun antara kaum sendiri,” katanya,” katanya.

Katanya, sasaran utama mereka adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis Rasullah, hukum-hukum Islam dan pelbagai pendekatan dilakukan, secara halus serta licik.

“Melalui cara peperangan dan kekerasan didapati kurang berkesan, mereka mencuba kaedah baru, iaitu serangan pemikiran.



“Ternyata cara ini berjaya memerangkap umat Islam di mana mereka berselindung di sebalik wadah, institusi penyelidikan dan misi kemanusiaan. Usaha mereka nampak berkesan dan berjaya,” katanya.

Katanya, bagi mengelak semua ini, marilah kita bersatu hati, jangan sesekali mudah terpedaya dengan dakyah musuh-musuh Isam itu.

TEGANUKITA