Halaman

15 February 2011

Guru Akram diminta ubah lanskap pendidikan Terengganu

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Menteri Besar menyaksikan MoU antara Top IT dengan Akram selepas majlis pengagihan e-Book untuk murid Tahun 5 DUN Bukit Tunggal. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Kerajaan negeri menaruh harapan kepada guru-guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) untuk menggunakan kepakaran mereka dan bertindak secara rasional bagi membantu mengubah landskap pendidikan negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata menjadi kebiasaan bila perkara baru dilaksanakan banyak krisis dan percanggahan dalam menilai dan mentafsirkan suatu perkara itu dengan andaian sendiri.



“Sebagai orang bertanggungjawab memikul amanah negeri, saya ingin melihat anak bangsa kita berada pada tahap yang tinggi pada masa akan datang,” katanya di majlis Penyerahan e-Book sekolah-sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan komputer riba kepada guru-guru Akram Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, Kuala Nerus petang ini (14 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abduk Rahin Mohd Said; Pengarah Pelajaran, Encik Razali Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Sdn Bhd, Haji Mohd Isa Nik.



Pada majlis itu, 800 guru Akram menerima komputer riba daripada kerajaan negeri di mana mereka merupakan panel bagi merangka soalan-soalan bagi peperiksaan awam, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selain itu, 343 pelajar Tahun 5 dari tiga buah Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, SK Bukit Tumboh dan SK Bukit Tunggal dalam DUN Bukit Tunggal menerima e-Book daripada Menteri Besar.

TEGANUKITA