Halaman

24 February 2011

Firefly Teruskan Operasi Musim Tengkujuh

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri memutuskan supaya syarikat penerbangan tambang murah, Firefly Sdn Bhd (Firefly) meneruskan operasi penerbangan dua hala Terengganu - Singapura walaupun pada musim tengkujuh tahun depan.

Perkara itu diputuskan kerana terdapat permintaan dan kecenderungan pelancong daripada negara berkenaan ke Terengganu khususnya bagi menyertai serta menyaksikan beberapa acara antarabangsa termasuk Piala Monsun di Pulau Duyong dan Kejohanan Kuda Lasak di Lembah Bidong pada musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata faktor lain kerajaan negeri meminta syarikat penerbangan berkenaan meneruskan operasi pada musim monsun selepas melihat kekurangan penginap hotel pada Disember hingga Mac setiap tahun.

Katanya, bermula 1 Mac ini, Firefly juga akan meneruskan perkhidmatan ke beberapa destinasi termasuk Terengganu-Pulau Pinang dan Pulau Pinang-Subang yang dahulunya dilaksanakan oleh Pelangi Air.

“Bermula bulan Mac juga, Firefly sudah bersetuju untuk mengadakan semula penerbangan tiga kali seminggu Subang-Terengganu dan Penang- Subang.

“Selain itu, pada tahun depan, kerajaan negeri membuat keputusan supaya Firefly tidak boleh menutup dan menghentikan penerbangan pada waktu monsun kerana untuk memulakan semula perkhidmatan setelah memaklumkan kepada orang mengenai pemberhentian sementara itu, amat sukar ,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha meneruskan semula penerbangan yang pernah dihentikan itu mampu memberi impak positif kepada kemasukan pelancong pada musim tengkujuh selain membantu mengatasi masalah kemerosotan penginap hotel pada tiga bulan pertama setiap tahun itu.

Firefly menyediakan perkhidmatan tiga kali seminggu pada Selasa, Khamis dan Sabtu dengan kapasiti muatan sehingga 70 penumpang dan memakan masa perjalanan sejam 20 minit selain memulakan perkhidmatan di Terengganu sejak 14 Julai 2009.

TEGANUKITA