Halaman

01 February 2011

Bot cruise dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 42,000 pengunjung tempatan dan luar Negara menggunakan perkhidmatan bot cruise di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, sejak ia dilancarkan lebih setahun lalu.

Pendekatan pengurusan TTI memperkenalkan perkhidmatan itu sebagai daya penarik, bukan saja mampu menambah bilangan pengunjung ke taman tema tersebut, malah ia membawa perubahan imej sungai Terengganu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Azmi Engku Abdul Rahman, berkata perkhidmatan bot cruise yang dilancarkan pada Mac 2009, nyata memberi perkembangan positif di mana sebelum ini TTI hanya dikenali umum sebagai destinasi yang mempunyai taman monumen dan Masjid Kristal.

“Sebanyak tiga Perahu Payang dan dua Perahu Kolek digunakan, sebagai permulaan memperkenalkan perkhidmatan itu dengan mengenakan kadar bayaran RM10 seorang.

“Disebabkan sambutan yang cukup menggalakkan, empat bot fiber yang dinamakan sebagai Bot Sri Warisan, Bot Sri Wan Man, Bot Sri Kristal dan Bot Sri Paloh ditambahkan sebagai langkah memenuhi pemintaan pengunjung,” katanya yang dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, untuk menambah lebih keselesaan, Bot Dining Cruise turut diperkenalkan di mana perkhidmatan terbaru ini cukup istimewa dan unik.

“Setiap pelanggan akan dihidangkan dengan makanan tradisional seperti nasi dagang, kuih muih dan kerepok lekor sepanjang 45 minit menyelusuri sungai.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung memuji pendekatan itu, di samping mengharapkan tebing sungai dinaik taraf dengan memasang lampu neon,” katanya.

TEGANUKITA