Halaman

17 January 2011

UMNO Terengganu Kukuh - Hishammuddin


Majlis penyerahan tugas Pengerusi UMNO Negeri Terengganu oleh Dato' Seri Hishamuddin kepada Dato' Seri Ahmad Said di Putrajaya.

Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa beliau menyerahkan UMNO kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dalam keadaan UMNO Terengganu kukuh dan padu.

“Kepimpinan UMNO mendapat petanda bahawa keteguhan UMNO Terengganu semakin terserlah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan semula Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin tempatan,” katanya di Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu kepada Dato’ Seri Ahmad Said, di Hotel Marriott, Putrajaya, petang ini (17 Januari).

Hadir sama di majlis ini, semua Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita Bahagian, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Bahagian Seluruh Terengganu.

Sebelum ini Dato’ Seri Ahmad diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, manakala timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad.

Dato’ Seri Hishammuddin berkata, pihaknya berharap UMNO Terengganyu menjaga parti dengan sebaik mungkin dan memastikan penyatuan yang dibina di semua peringkat ini diterima oleh rakyat Terengganu.

“Pucuk pimpinan UMNO mempunyai agenda yang besar daripada pengembalian kekuatan UMNO di Terengganu, iaitu memenangai Pilhan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata, walaupun beliau tidak lagi mengetuai UMNO Terengganu, beliau tetap akan memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan UMNO tetap relevan dan diterima baik oleh rakyat Terengganu.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, beliau menerima pelantikan itu dengan penuh tanggungjawab dan amanah demi membela nasib rakyat Terengganu.

“Saya tidak akan mengutamakan kepentingan diri, tetapi apa yang lebih penting adalah parti akan diutamakan pada setiap masa dan setiap hal,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan menguatkan jentera UMNO di setiap peringkat bagi memastikan UMNO dan BN memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.

Menteri Besar berkata, beliau akan mengumumkan senarai penuh Badan Perhubungan UMNO Terengganu termasuk Setiausaha dan Ketua Penerangan pada mesyuarat badan perhubungan itu dalam masa terdekat.

TEGANUKITA