Halaman

03 January 2011

Pemain Kelahiran Terengganu Terima Imbuhan

Oleh: Suriati Ali dan Shahrir Hamid

“Hadiah yang bakal diterima ini amat bermakna bagi saya dan keluarga terutama ketika menanti kehadiran cahaya mata pertama dijangka lahir esok (4 Januari)” jelas Ashari Shamsuddin ketika dihubungi Teganukita hari ini (3 Januari).

Pemain sayap kiri Terengganu dan Malaysia yang telah meledakkan satu gol ketika Malaysia mendahului dua gol pada final pertama di Stadium Bukit Jalil berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan sebidang tanah (tapak perumahan) berserta wang tunai RM5,000 bagi menghargai sumbangan beliau dalam membantu kemenangan pasukan Malaysia di Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

Anak kelahiran Marang yang bermain untuk pasukan Terengganu tidak menjangka perkara tersebut sehinggalah diberitahu mengenai berita gembira itu daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Dato’Che Mat Jusoh melalui panggilan telefon.

“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan negeri mengambil cakna serta menghargai jasa bakti yang telah ditaburkan oleh anak Terengganu dalam mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa”, katanya lagi.

Sementara itu, Mentari Besar Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan enam pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili skuad Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF menerima durian runtuh wang tunai RM5,000 dan sebidang tanah untuk tapak perumahan.

Mereka yang bakal menerima habuan itu adalah Mohd Ashari Samsuddin dan Mohd Sarbinee Al-lawee Ramli; Norsharul Idlan Talaha dari pasukan Kelantan dan tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhamad.

Hadiah itu menjadi pemangkin kepada semua pemain untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam menaikkan nama baik negeri dan negara pada masa depan.

Majlis Kesyukuran bagi meraikan kejayaan itu turut di anjurkan PBSNT bertempat di Hotel Felda pada malam ini (3 Januari).

TEGANUKITA