Halaman

11 January 2011

MB Lawat Mangsa Simbahan Asid di Hospital

Oleh : Mohamad Shahrir dan Raja Faisal

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, meluangkan masa melawat mangsa simbahan asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan (Lin), 9, yang menjalani pembedahan wajah di Hospital Nur Zahirah (HSNZ), tengahari semalam (10 Januari).

Mangsa menjalani pembedahan bagi membaiki wajahnya yang rosak teruk akibat terkena simbahan asid pada 15 Ogos tahun lalu, menjalani pembedahan di hospital tersebut pada 9 Januari lalu.

Menteri Besar yang diiringi Pengarah HSNZ, Dr. Hajah T. Ramelah T. Senik berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada Lin bagi memastikan dia mampu ke sekolah serta menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerajaan negeri sedaya upaya akan menolong adik Lin sekiranya memerlukan kepakaran mahupun bantuan luar. Kita juga akan memberi bantuan daripada segi pendidikan, perubatan serta kebajikan kepada mangsa”, katanya kepada media selepas lawatan berkenaan.

Adik Lin yang semakin stabil selepas menjalani pembedahan membuang parut dan menampal kulit muka diketuai Pakar Perunding Pembedahan Plastik, Dr. Najiha Syarida Zakaria, gembira menerima kunjungan Menteri Besar.

Pada masa yang sama, Dato’ Seri Ahmad juga sempat melawat mangsa kemalangan jalan raya di Jerangau-Jabor, Aishah Natasya Baharuddin, 5, yang sedang menjalani pemulihan di wad kebakaran HSNZ. Mangsa yang terbabit kemalangan pada tahun lepas terbakar teruk namun semakin pulih selepas menjalani beberapa rawatan susulan di HSNZ.

Menteri Besar melawat kedua-dua mangsa selepas meluangkan masa melawat Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh yang menghidap mini strok.

TEGANUKITA