Halaman

25 January 2011

Kelas Maya Di Sekolah Perintis

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bersedia menaiktaraf sistem pelajaran Sekolah Kebangsaan Paya Bunga (SKPB), Kuala Terengganu sebagai langkah menarik minat lebih ramai murid menimba ilmu di sekolah itu.

Ketua Sektor JPNT, Haji Zubir Embong berkata, mewujudkan kelas maya dan peperiksaan melalui talian antara pendekatan yang bakal dilaksanakan di SKPB dan dua lagi sekolah rendah di negeri ini
.
“Tiga sekolah rendah itu termasuk Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan Sekolah Rendah Teluk Kalong, Kemaman adalah sekolah perintis sebelum dilaksanakan sepenuhnya di sekolah lain.

“ JPNT yakin melalui pendekatan itu, tiga sekolah rendah itu terutama SKPB akan menerima kemasukan lebih ramai murid di mana sebelum ini, SKPB hanya menempatkan 50 hingga 70 bilangan murid sahaja dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan e-Book bagi sekolah rendah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini (25 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 781 termasuk 18 murid Tahun Lima Sekolah Pendidikan Khas, Kuala Terengganu hadir ditemani ibu atau bapa bagi menerima e-Book percuma.

Haji Zubir berkata, bagi sesi persekolahan 2011, SKPB menerima seramai 101 murid berbanding 71 murid tahun lalu.

“ Pihaknya bangga dengan maklum balas positif itu kerana ibu bapa sudah mula mempercayai pendekatan yang dilaksanakan,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad ketika sidang akhbar berkata, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Top IT Sdn. Bhd bagi melaksanakan penggunaan kelas maya dan peperiksaa melalui talian di tiga sekolah rendah terpilih itu.

Katanya, bagi menjayakan kaedah pembelajaran ini,semua pihak terutama keluarga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pembelajaran anak dalam semua subjek tidak ketinggalan.

“Ibu bapa perlu peka dengan memastikan anak yang memperoleh e-Book terlebih dahulu mengecas bateri peralatan itu di rumah sebelum hadir ke sekolah,” katanya.

TEGANUKITA