Halaman

30 January 2011

Anugerah Guru Unggul Suntik Semangat

Oleh: Aida Abd Rahman

Peranan penting guru dalam membentuk insan cemerlang diiktiraf pelbagai pihak , bukan hanya kerajaan negeri malah syarikat swasta seperti Exxonmobil Exploration and Production Malaysia Inc. (Exxonmobil) apabila badan korporat itu menyumbang RM37, 5000 kepada 25 guru unggul yang terpilih dari seluruh Terengganu.

Seorang penerima Anugerah Guru Unggul 2010 dari Sekolah kebangsaan (SK) Teluk Pasu, Kuala Terengganu, Tengku Aznuriah Tengku Aziz, berterima kasih dengan inisiatif Exxonmobil kerana menaja anugerah sebagai mengiktiraf jasa dan ketrampilan guru dalam meningkatkan martabat pendidikan di Terengganu.

“Anugerah ini mampu memberi suntikan semangat untuk saya dan pendidik lain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada anak didik sama ada dalam akademik ataupun bidang kokurikulum.

Tengku Aznuriah yang mengajar subjek Matematik, Pendidikan Jasmani dan Muzik turut dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Terengganu) dan berjaya membawa persatuannya itu menjalankan aktiviti sehingga ke Johor dan juga ke Padang Indonesia.

Seorang lagi penerima anugerah, Rosnizan Mohd, 33, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu, menganggap anugerah itu sebagai hadiah berganda selepas mendapat Anugerah Guru Cemerlang peringkat sekolah pada November lalu.

Dia yang mengajar subjek Kimia dan Sains sejak tujuh tahun lalu, mencari kelainan dan inovasi dalam kaedah pengajaran apabila menyediakan modul khas mengikut kehendak pelajar yang digabungkan dalam satu buku bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam pelajaran apabila ketiadaan guru pada satu-satu ketika.

Katanya, sejak dulu lagi, dia menyasarkan untuk melihat kecemerlangan pelajar yang menjadi anak didiknya serta terus memperkasakan bidang akademik di sekolahnya.

Pengerusi Subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Hugh W Thompson, berkata syarikatnya sentiasa mencari insiatif untuk membangunkan modal insan dan menyumbang untuk faedah jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Katanya, pihaknya amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memajukan sektor pendidikan dan menyokong program pelajaran di Terengganu dengan harapan ianya mampu menyumbang kepada pembangunan serta menghasilkan tenaga kerja pakar.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Anugerah Guru Unggul yang dipilih berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan guru dalam memajukan akademik dan kokurikulum pelajar itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada guru menghasilkan budaya kerja yang lebih cemerlang selain melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negara pada masa depan.


TEGANUKITA