Halaman

17 December 2010

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI (PENGULUNGAN)

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Pembangunan Belia Dapat Peruntukan Besar

Kerajaan negeri sangat mengambil cakna terhadap golongan belia dan menyediakan peruntukan begitu besar dalam melaksanakan pelbagai aktiviti khusus untuk pembangunan belia di negeri ini.

“Setiap tahun peruntukan sentiasa meningkat untuk kepentingan golongan belia,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat sesi penggulungan Sidang Undangan Negeri (DUN) petang semalam.

Katanya, perbelanjaan untuk pembangunan belia meningkat setiap tahun iaitu RM20 juta (2006), RM20 juta (2007), RM22 juta (2008), RM30 juta (2009) berbanding ketika Pas memerintah (2000-2004) hanya memberi peruntukan RM100,000 (2003) dan RM200,000 (2004).

YB Rozi yang menjelaskan panjang lebar bagi menjawab tuduhan beberapa ahli pembangkang, yang menyifatkan kerajaan tidak berbuat-apa-apa untuk menyekat kegiatan sosial remaja yang semakin menular ketika ini.

“Masalah sosial wujud dimana-mana dan berbeza-beza mengikut masa dan suasana setempat dan kita ada cara perlaksanaan aktiviti melalui Jabatan Belia, Pejabat Daerah dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo),” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha mendekati mereka dengan pelbagai cara dan terbaru telah menubuhkan Kelab Permotoran Remaja Terengganu (KPRT) di peringkat negeri yang akan diperluaskan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga ke kampung-kampung.

“Hampir 90 peratus golongan belia meminati sukan permotoran dan kita perlu memahami naluri mereka dan akan cuba menyelitkan sama program pembangunan, kemahiran dan latihan berteraskan ilmu dalam usaha melahirkan belia berdaya saing,” katanya.

Kafa Sudah Lama Wujud di Terengganu

Kerajaan negeri banyak memberi tumpuan dalam hal-hal agama dan telah mendahului Kerajaan Pusat dalam mewujudkan kelas-kelas agama dan Kelas Fardu Ain (Kafa) yang kendalikan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Khazan Che Mat berkata, kita telah mewujudkan kelas Kafa ini sekitar tahun tujuh puluhan dan beberapa tahun kebelakangan ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) laksanakan di seluruh negara, ia dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama tapi di Terengganu terus kekal di bawah YIT.

“Begitu juga soal pemberian elaun imam bilal, elaun para hafiz dan hafizah Quran, kerajaan negeri telah laksanakan sejak lama dulu dan ini membuktikan kerajaan BN sangat-sangat mengambil berat soal agama di kalangan rakyat,” katanya dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri.

Katanya, kerajaan akan menaikan elaun imam bilal selaras dengan pengumuman Kerajaan Pusat malah kita turut memberi peluang menunaikan fardu haji ke Makah secara bergilir-gilir kepada imam bilal sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka.

Menurutnya, segala usaha memerlukan sokongan semua termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling dan semua anggota masyarakat termasuk pemimpin pembangkang perlu sokong usaha murni tersebut.

Beliau kemudiannya menyangkal keras tomahan pemimpin pembangkang yang menuduh kerajaan negeri tidak mengambil berat soal agama serta mendahulukan program hiburan sebaliknya kerajaan setiap tahun memberi peruntukan besar melaksanakan pelbagai program keagamaan

Beras Tempatan Penuhi 70 Peratus Keperluan Penduduk

Lebih 70 peratus penduduk di negeri ini menggunakan beras tempatan untuk makanan harian mereka dan hanya 30 peratus keperluan diimport dari luar .

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Ashaari Idris berkata, usaha untuk memenuhi keperluan seratus peratus beras tempatan sedang ditingkatkan dengan mewujudkan jelapang padi di beberapa daerah seluruh negeri.

“Pengeluaran padi yang dihasilkan oleh petani kita telah meningkat daripada 63,500 tan kepada 69,500 tan dan jumlah ini telah dapat menampung keperluan 70 peratus penduduk tempatan,” katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang semalam.

Katanya, kerajaan turut menaikan subsidi pertanian kepada RM2,200 sehektar kepada petani yang mengusahakan tananam padi sebagai galakan setakat ini 50 petani berjaya meraih RM1,500 sebulan.

“Kerajaan turut membantu pekebun yang menghadapi kejatuhan harga buah-buahan tempatan baru-baru ini, contohnya buah duku, harga dipasaran 50 sen sekilo tetapi pihak Fama telah membayar dengan harga RM1.20 sen ,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin pembangkang yang tidak pernah nampak kebaikan dan pengorbanan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu rakyat sebaliknya terus mencanangkan keburukan sahaja.



TEGANUKITA