Halaman

26 December 2010

PMR Terengganu Melonjak Atasi Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN, Shahrir Abdul Hamid dan Raja Faisal Raja Haron

Terengganu terus menunjukkan lonjakan dalam prestasi peperiksaan awam apabila Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan hari ini merekodkan peningkatan dan pencapaian memberangsangkan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud ketika sidang media di JPNT, Kuala Terengganu, berkata pencapaian A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.69 peratus berbanding 7.12 peratus tahun lalu manakala minimum D mencatat peningkatan sebanyak 3.85 peratus daripada 63.38 peratus.

Malah, katanya nilai Gred Purata Mata Pelajaran Peringkat Negeri (GPMP) mengesahkan Terengganu mengatasi GPMP peringkat nasional bagi 11 mata pelajaran manakala Peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.58 berbanding 2.60 pada 2009 mengatasi Gred Purata Nasional 2.74.

Sementara itu, sekolah terbaik bagi PMR 2010 merupakan Sekolah Imtiaz Kuala Berang diikuti SM Imtiaz Besut dan SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu yang mendahului senarai sekolah dalam negeri.

Beliau berkata, keputusan PMR mampu meletakkan nama Terengganu terus unggul di peringkat nasional. Kebanyakan mata pelajaran PMR 2010 di Terengganu menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.

Menurutnya, komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada JPNT mempengaruhi kecemerlangan pelajar dalam PMR 2010.

“Saya mengharapkan bantuan kerajaan akan bertambah agar JPNT dapat melaksanakan lebih banyak program kecemerlangan di sekolah-sekolah pada masa hadapan. Keunggulan Terengganu dalam PMR banyak dibantu oleh pengetua, guru, pelajar serta sikap cakna ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan terus digapai,” katanya.

TEGANUKITA