Halaman

08 November 2010

Mangsa Bot Karam Pulau Tenggol Ditemui Selamat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said mengunjungi mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Hospital Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

“Alhamdulillah. Pada mulanya, saya cukup bimbang dengan keselamatan semua mangsa selepas mengetahui berita itu pagi tadi, namun apabila dimaklumkan mereka semua ditemui selamat saya sungguh bersyukur,” demikian luah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika melawat sebahagian daripada 16 mangsa bot karam yang menerima rawatan di Hospital Kemaman (HK) , petang tadi (7 November).

Kesemua mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang hilang selepas bot itu mengalami kebocoran di sekitar perairan Pulau Tenggol, petang semalam (6 November) ditemui pagi ini dalam keadaan selamat selepas mereka terpaksa bersabung nyawa lebih 15 jam terapung di laut.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah dan kesejukan ditemui kira-kira 16 batu nautika selatan pulau itu oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga yang terlibat dalam operasi dan menyelamat sejak semalam.

Menteri Besar yang ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, menasihati supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah dan rekreasi di pulau dan laut pada musim tengkujuh ini berikutan ia boleh mengundang ancaman kepada nyawa dan berharap kejadian yang menimpa penyelam dari Kuala Lumpur itu mampu memberi pengajaran.

Ketua PGM Wilayah Tiga, Asisten Komisionner Mohd Saleh Mat Jani berkata, kelibat mereka yang duduk dalam keadaan berkumpulan disedari oleh pasukan menyelamat selepas beberapa mangsa melambung jaket keselamatan ke udara bagi menarik perhatian dan bantuan.

"Tindakan mereka itu berjaya disedari oleh pasukan PGM yang kemudian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa sebelum dibawa ke Pengkalan Marin di Kemaman kira-kira 11 pagi ini," katanya.

Tiga daripada 16 mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas ditemui terapung adalah Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibu Mohd Danial, Noraini Sosilawati Sarigar Sofian, 33, (mengandung empat bulan) dan Badrul Hisham Shariman, 40.

Berdasarkan rekod agensi pelancongan yang mengatur perjalanan mereka, mangsa lain ialah pemandu bot Zulfadly Yahya, Salman Mohd Kasim, Muhamad Aman, Azhar Ahmad, Mazli Abd Malik, Mohd Zulkifli Mohamad, Loo Kit Choong, dan Mohd Azharini Mohd Amin.

Ayu Dhaida Sulaiman, Anis Shafina, Norazimimah Abdul Maria dan Aida yang kesemuanya dibawa ke HK untuk mendapat rawatan lanjut.

Seorang mangsa yang juga bapa Mohd Danial, Mohd Zulkifli Mohd Daud, 33, ketika ditemui di wad kecemasan HK, menyifatkan kejadian itu seperti `mati hidup semula’, apatah lagi dia terpaksa bertarung menyelamatkan nyawa sendiri serta isteri dan anak yang turut serta bersama-samanya ke pulau itu.

Mohd Zulkifli dari Bangi, Selangor, berkata jika PGM tidak nampak kelibat mereka yang sedang terapung dan terpaksa bertahan lebih lama dalam keadaan sudah tidak bermaya dan kesejukan, kemungkinan terjadi kesan lebih buruk terhadap nyawa mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, bot jenis D-Guardian Katamaran yang membawa 15 pelancong yang terdiri daripada penyelam bertauliah dari Kuala Lumpur termasuk dua doktor seorang jurulatih selam, karam selepas bot berkenaan bocor.

Kejadian berlaku kira-kira 30 minit selepas mereka bertolak dari Pulau Tenggol menyebabkan pemandu bot cuba berpatah balik namun gagal akibat cuaca buruk beserta keadaan laut yang agak bergelombang.

Pemandu bot berkenaan lalu menghubungi majikan mereka memaklumkan bahawa bot berkenaan mengalami masalah.

Majikan berkenaan mencari sendiri kesemua mangsa di sekitar perairan itu sehingga ke Kuala Dungun, namun gagal dan bertindak menghubungi pihak polis.






























TEGANUKITA