Halaman

03 November 2010

Badan Korporat Tampil Sokong SCTEC 2010

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu (SCTEC) 2010 di Lembah Bidong, Setiu yang bakal berlangsung minggu depan menerima sokongan daripada pelbagai badan dan agensi korporat apabila mereka tampil menaja kira-kira RM140,000 bagi menjayakan sukan tahunan berprestij itu.

Antara penaja berkenaan adalah syarikat Sime Darby Berhad; Kumpulan Liziz Sdn Bhd; MRK Resource Corporation Sdn Bhd; Ketengah Holding Sdn Bhd; Ais Consultants; Terengganu Incorporated Sdn Bhd; Pancuran Budi (M) Sdn Bhd; Agro bank (Cawangan Kuala Terengganu); A.i Agro Marketing; Syarikat Air Terengganu; Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu; AHT Norlan United & Carriage SDN Bhd dan TM Malaysia.

Penajaan disampaikan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam semalam ( 2 November). Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Kejohanan bermula 5 hingga 7 November ini bakal diketuai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama 100 peserta dari seluruh negara.

Selain Malaysia, 11 negara lain dijangka bersaing dalam kategori 120 kilometer termasuk Amerika Syarikat, Chile, Uruguay, Perancis, Thailand, Indonesia, Singapura, Bahrain dan Australia.

Antara kelab tempatan yang akan turut memeriahkan kejohanan itu ialah pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Penn Endurance Club, Langkawi Endurance Stable, Masterscaff Endurance Team dan TSAB Stable Perlis.

Sementara itu, kejohanan yang diiktiraf Equestrian Association of Malaysia (EAM) dan Federation Equestrian International (FEI) itu menawarkan RM30,000 kepada juara, manakala kedua dan ketiga masing-masing RM20,000 serta RM15,000, dikuti RM10,000 (keempat) dan RM8,000 bagi peserta di tempat kelima beserta piala.

Hadiah RM1,000 juga akan diberikan kepada peserta yang berjaya menghabiskan acara pada masa yang ditetap dan hadiah RM3,000 kepada kuda terbaik.

TEGANUKITA