Halaman

06 October 2010

PMINT Bina Projek Mega Bernilai RM120 Juta

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) -- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu sedang membina sebuah kompleks mega berharga RM120 juta di bandar raya ini yang mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap menjelang 2012.

Pengurus Besar PMINT Datuk Zakaria Awang berkata kompleks itu akan mengandungi hotel 11 tingkat dengan 210 bilik, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya PMINT di sini hari Selasa.

Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Zakaria berkata langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya.

Beliau juga berkata PMINT akan membina empat blok rumah rumah kos sederhana dan kos tinggi mengandungi 128 unit di Taman Tamadun Islam di sini dalam masa terdekat ini.

Zakaria berkata kerja menambak tanah seluas lapan hektar bersebelahan TTI akan dilakukan segera bagi membolehkan projek itu dilaksanakan awal tahun depan.

PMINT juga akan memajukan kawasan perhentian bas lama yang terletak di Jalan Masjid Abidin di sini, katanya.

-- BERNAMA