Halaman

26 October 2010

Perbicaraan kes ugutan bunuh menerusi SMS

KUALA TERENGGANU, 26 Oktober 2010 -- Dalam pembicaraan “Ugutan bunuh melalui SMS’ yang bersambung pada hari ini, mahkamah diberitahu bahawa penggunaan aplikasi SMS atas nama Mohd.Irwan Zainal Abidin (seorang pegawai kerani di Pejabat Umno pada 2009) adalah digunakan untuk tujuan kempen calon pertandingan Majlis Tertinggi bagi pihak calon bernama Dato’ Seri Haji Idris Jusoh.

Mohd Irwan yang tinggal di Seri Kembangan ketika disoal pihak pendakwa pada sesi perbicaraan pagi ini memberitahu pada masa itu beliau adalah setiausaha kerja kepada sekretariat Pemulihan UMNO.

Dinyatakan kepada mahkamah, tugas beliau adalah menyediakan minit mesyuarat, tempahan bilik mesyuarat, makluman kepada ahli mesyuarat dan persiapan mesyuarat berkaitan sekretariat pemulihan UMNO itu.

Ditanya pihak pendakwa, Mohd.Irwan memberitahu beliau bertanggungjawab kepada tiga orang pegawai atasan iaitu Setiausaha Kerja UMNO Malaysia ketika itu, Datuk Husaini Hashim, Pengerusi Sekretariat Pemulihan UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd.Zubir selaku Pegawai Khas Dato’ Seri Idris.

Prosiding berlangsung di hadapan Hakim, M.Bakri Abd. Majid. Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami manakala Dr.Ahmad Ramzi diwakili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Ditanya penglibatan beliau dalam kes ini, Mohd.Irwan berkata Dr.Ramzi meminta beliau membantu kempen pemilihan Majlis Tertinggi UMNO 2008-2011 yang mana Dato’ Seri Idris Jusoh merupakan salah seorang calon bagi mengganggotai pemilihan itu.

“Dalam kaedah berkempen Dr.Ramzi telah berikan saya satu SMS, nama dan nombor handphone untuk saya hubungi yang mana kandungan kaedah kempen menggunakan `SMS blast’” beritahunya kepada mahkamah.

Pendakwa: Apa yang diarahkan oleh Dr.Ramzi?
Mohd.Irwan: Minta saya hubungi penama tersebut kepada nombor-nombor telefon yang telah diberikan . Minta saya hubungi Encik Hazwan untuk mendapat keterangan lanjut mengenai kaedah SMS. Selepas faham saya hubungi semula Dr.Ramzi bagi perbincangan dan Dr.Ramzi setuju untuk membeli aplikasi tersebut.

Pendakwa: Apa lagi arahan Dr.Ramzi?
Mohd.Irwan: Bagi tujuan pembelian aplikasi, Dr.Ramzi salurkan wang RM1,000 kepada akaun saya dan saya pindahkan ke akaun yang diberikan oleh Encik Hazwan (pemilik syarikat aplikasi SMS), akaun tersebut namnya seorang wanita. RM450 untuk bayaran pendaftaran dan RM550 untuk pembelian kredit.


Pendakwa: Apakah tujuan pembelian itu?
Mohd.Irwan: Tujuan pembelian tersebut adalah bagi membantu kempen pemilihan MT bagi pihak Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pendakwa: Akaun SMS blast itu didaftarkan atas nama siapa?
Mohd.Irwan: Didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Bagaimana SMS blast digunakan?
Mohd.Irwan: Bagi menggunakan SMS blast kita perlukan sebuah komputer, sambungan internet, ID dan password. Kita bolehlah menghantar SMS kepada seberapa ramai yang kita mahukan. Kita juga boleh mengubah kolum penghantar. Biasa `sender’ adalah nombor handphone kita sendiri, SMS blast ini boleh diubah nama sender kepada sesiapa sahaja.

Pendakwa: Kemudian selepas itu apa yang awak lakukan?
Mohd.Irwan: Saya ada hantar SMS memo percubaan kepada handphone Dr.Ramzi dan handphone saya sendiri sebanyak dua kali. Kali pertama tidak berjaya kerana tidak dimasukkan kod antarabangsa bagi Malaysia iaitu nombor 6. Kali kedua berjaya setelah dimasukkan nombor 6 pada pangkal nombor telefon itu.

Pendakwa: Bila dihantar memo SMS percubaan itu?
Mohd.Irwan: 6 Mac 2009.

Pendakwa: Apakah kandungan memo SMS itu?
Mohd.Irwan: Memo itu berbunyi “percubaan, Dato’ Seri Idris Jusoh’. Selepas itu saya lupa password dan hubungi semula Encik Hawzan untuk bantuan password baru.

Pendakwa: Apa password baru?
Mohd.Irwan: DSIJ 151155. DSIJ merujuk pada Dato’ Seri Idris Jusoh, 151155 adalah tarikh lahir beliau.

Pendakwa: Kenapa letak password sebegitu?
Mohd.Irwan: Sebab saya risau jika terlupa lagi dan bagi memudahkan.

Pendakwa: Siapa yang arah bukan akaun itu dan tujuan apa?
Mohd.Irwan: Akaun ini diminta dibuka oleh Dr.Ramzi bagi membantu kempen Dato’ Seri Idris sebagai calon MT.

Pendakwa: Adakah awak maklum pada sesiapa password itu (DSIJ 151155)?
Mohd.Irwan: Tak maklum pada sesiapa kecuali Dr.Ramzi atas permintaan beliau sendiri.

Pendakwa: Bila diberitahu password itu kepada Dr.Ramzi?
Mohd.Irwan: Minggu pertama April 2009 selepas habis kempen MT. Hantar melalui SMS dan tidak maklumkan kepada orang lain selain Dr.Ramzi.

Pendakwa: Bagaimana awak dapat tahu mengenai isu ugutan melalui SMS ini?
Mohd.Irwan: Saya dapat tahu melalui akhbar dan siaran berita TV. Seterusnya saya mengesyaki isu ini terbabit dengan akaun yang didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Tentang password DSIJ 151155 ada beritahu pada sesiapa dan tulis di mana-mana.
Mohd.Irwan: Tidak ada,kecuali kepada Dr.Ramzi.

Pendakwa: Ada diterangkan kepada Dr.Ramzi cara penggunaan blast SMS .
Mohd.Irwan: Ada. Bertempat di pejabat Dr.Ramzi pada awal April 2009.

Pendakwa: Selepas syak isu SMS itu ada hubungan dengan akaun atas nama awak apa awak buat?
Mohd.Irwan: Saya hubungi Encik Hazwan untuk bertemu dan bincang masalah akaun tersebut. Dr.Ramzi pun ada hubungi saya bagi tujuan agar tutup akaun tersebut dan jika ada dipulangkan baki kredit dan kalau tak ada, tak mengapa.

Pendakwa: Di mana jumpa Encik Hazwan
Mohd.Irwan: Di Bangi Golf Resort pada malam saya ditahan polis pada 20 April 2009.

Pendakwa: Ada terima apa-apa arahan Dr.Ramzi?
Mohd.Irwan: Dr.Ramzi pesan supaya lindungi beliau dan ‘big boss’

Pendakwa: Siapa ‘big boss’ ikut fahaman awak
Mohd.Irwan: Kata-kata tersebut ikut fahaman saya merujuk kepada Dato’ Seri Idris Jusoh.

Perbicaraan seterusnya bersambung di sebelah petang.

Pada sesi perbicaraan yang bersambung di sebelah petang saksi memberitahu beliau mempunyai kelulusan Diploma Penilaian Harta Tanah lulusan Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur yang menjalankan bertugas sebagai Pegawai Kerani, bahagian Teknologi Maklumat di Pejabat UMNO Malaysia.

Beliau menjalankan tugas membaik pulih komputer rosak dan mengenalpasti masalah komputer dengan merujuk kepada mereka yang lebih senior kerana dia hanya seorang pekerja separa mahir.

Saksi memberitahu dia bertugas secara sukarela membantu kempen MT kepada Dato’ Seri Idris bagi mendapatkan maklumat mengenai data-data keahlian UMNO dan turut bersetuju dengan pendakwa bahawa dia terlibat dalam politik UMNO.

Pendakwa kemudiannya meminta barang rampasan berkaitan kes seperti dua laptop, satu computer, satu set alatan permaian video, satu moderm digi, satu destop dan satu alat pembesar suara ditunjukkan kepada mahkamah.

Hakim Tuan M.Bakri Abd Majid kemudiannya menangguhkan perbicaraan kes hari ini dan akan disambung pada 27 Oktober 2010 jam 10.00 pagi.



TEGANUKITA