Halaman

27 September 2010

Seberang Takir Rintis Anak Angkat Graduan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Seramai 638 keluarga di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir menjadi perintis menerima mahasiswa dan mahasiswi daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA ) Terengganu sebagai anak angkat setiap keluarga berkenaan bermula semalam (25 September).

Majlis penyerahan kesemua penuntut daripada pelbagai jurusan kepada keluarga angkat masing-masing itu diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir 2010 di Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Nerus, kelmarin.

Usaha mewujudkan program itu cetusan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Adun Seberang Takir bagi memastikan matlamat ` satu rumah, satu graduan’ terlaksana.

YB Ahmad Razif berkata, semua rumah di Dun berkenaan akan dipastikan mempunyai sekurang-kurangnya seorang graduan yang dapat menjadi contoh kepada anak-anak keluarga angkat supaya menurut jejak penuntut berkenaan sekaligus menghindari daripada melakukan perkara yang tidak bermoral terutama penyalahgunaan dadah.

“Anak-anak angkat ini akan bersama keluarga mereka sehingga habis belajar dan kita menggunakan konsep sepanjang masa atau selama-lamanya mereka akan menziarahi keluarga angkat mereka, sekaligus melaksanakan USR atau `University Social Respondsibility’ (Tanggungjawab sosial universiti).

“Selepas ini, satu sekretariat akan diwujudkan bagi memastikan ada pihak yang dapat memantau projek berkenaan bagi dilaksanakan di seluruh Terengganu pada masa depan,” kata beliau ketika sidang media sejurus program penyerahan anak angkat itu.

Katanya, beliau yakin menerusi program anak angkat dan USR di kalangan graduan mampu menyelesaikan banyak masalah sosial kerana kajian sudah terbukti setiap permasalahan sosial hari ini hanya mampu diatasi dengan adanya tahap pendidikan yang baik.

TEGANUKITA