Halaman

09 September 2010

MAIDAM Taja Pelajar Ke Jordan

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Seramai lima orang pelajar anak Terengganu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 ditaja penuh oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi melanjutkan pelajaran ke Jordan yang bermula dari peringkat Sarjana Muda hingga ke Doktor Falsafah (Ph.D).

Sebanyak RM551, 997,000 diperuntukkan oleh MAIDAM bagi menaja lima pelajar itu selama empat tahun untuk sarjana muda pertama.

Mereka ditempatkan di tiga buah Universiti yang berlainan di Jordan iaitu Universiti Al-Bayt, Universiti Yarmouk dan Universiti Mu’tah.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Senara Muda berkata, program ini merupakan satu transformasi yang dijalankan oleh pihak beliau dalam memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam Terengganu pada masa akan datang.

Program yang julung kali diadakan oleh MAIDAM ini merupakan perintis dalam mewarisi keilmuan dan tugas kerasulan para nabi untuk disebarkan kepada masyarakat.

“Pelbagai proses pemilihan peserta dilakukan yang bermula dengan pengambilan calon yang mempunyai teras agama Islam terbaik, Pra-kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bagi menjalani kursus Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris selama tiga bulan dan kemasukan ke Universiti di Jordan”, katanya semasa merasmikan majlis penyerahan tajaan program memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam, di MAIDAM, Terengganu hari ini.

Selain itu, beliau turut menasihati para perintis agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dengan memanfaatkan sepenuhnya wang zakat asnaf fisabilillah ini bagi menghasilkan graduan ulama yang berkreadibiliti kelak.

“Para pelajar dinasihatkan agar mencapai anugerah Jidan atau Mumtaz iaitu dua anugerah yang di peringkat cemerlang ”, katanya.

Amirul Aiman Abdullah, 18, pelajar IMTIAZ dari daerah Dungun salah seorang peserta yang terpilih dalam program ini melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi peluang kepadanya untuk mendalami ilmu agama islam dengan lebih mendalam.

Manakala, Mohamad Izzat Mohd Iqbal, 18, merupakan anak sulung dan pelajar IMTIAZ Kuala Terengganu akan memanfaatkan sepenuhnya tajaan MAIDAM ini dan menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya.

Mereka dijangka akan menamatkan pengajian pada 2025 dan akan berangkat ke sana pada 13 September 2010 iaitu sehingga menamatkan pengajian di peringkat Ph.D.

MAIDAM turut akan menaja program pakar sakit puan khusus untuk perintis wanita sahaja yang akan diadakan pada tahun ini di mana sahaja institusi, dalam atau luar negara.

Dato’ Senara Muda berkata, sebanyak tiga peserta lepasan SPM akan dipilih untuk mengikuti bidang perubatan sakit puan ini disebabkan oleh kekangan pakar sakit puan di kalangan wanita mendorong MAIDAM mengambil inisiatif ini untuk menaja doktor pakar dalam bidang ini.

TEGANUKITA