Halaman

09 September 2010

Kunjungi Keluarga Arwah Fadli

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Ahmad memberi sedikit sumbangan peribadi kepada keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad iaitu pemain bola tampar Sukma Terengganu yang meninggal dunia di Kampung Jeram Hilir, Manir. - Foto: Zulkipli Putra.

Kesedihan keluarga arwah Mohd Fadli Muhammad, pemain bola tampar Sukan Malaysia (Sukma) yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru 5 Julai lalu, sedikit terubat dengan kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ke rumah arwah di Kampung Jeram Hilir, Manir, petang tadi (8 September).

Menteri Besar ditemani isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu arwah, Zabidah Salleh, 46, sebagai mengenang dan menghargai jasa atlit itu sepanjang menabur jasa mewakili negeri serta memberi semangat kepada keluarga arwah untuk menyambut lebaran dua hari lagi.



Beliau turut mengucapkan takziah dan memohon maaf kerana tidak sempat hadir lebih awal kerana urusan rasmi dan lawatan awal itu sudah diwakilkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Selain YB Rozi, hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri, Encik Rosdi Awang.

Sebelum ini, YB Rozi menyampaikan sumbangan Kerajaan Terengganu kepada keluarga mangsa sejurus selepas beberapa hari Mohd Fadli meninggal dunia.


To' Puan Seri Norliza bersama penduduk kampung ketika meziarahi keluarga arwah Mohd Fadli.

Sementara itu, Zabidah akan memastikan sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak akan digunakan untuk kebaikan arwah termasuk mengupah menunaikan Haji dan kenduri tahlil.

“Terima kasih kerana menteri Besar dan istri sanggup datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan itu. Semangat saya memang hilang untuk beraya, sejak arwah tiada dan pertama kali berhari raya tanpa arwah di sisi.Bagaimanapun sebagai umat Islam kami tidak boleh melupakan sambutan Hari Raya dan tetap disambut secara sederhana.” katanya.

TEGANUKITA