Halaman

29 August 2010

Hari Wanita: PM dan MB berkomunikasi menerusi sidang video

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said adalah di antara pemimpin negeri yang diberi kesempatan mengambil bahagian dalam sidang video bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, petang semalam (25 Ogos ).

Dato’ Seri Ahmad Said dalam sidang televideo itu memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai kegiatan perniagaan dan usahawan wanita di Terengganu.

Katanya, wanita Terengganu telah pun keluar dari kepompong lama, tidak lagi mengusahakan keropok lekor semata-mata, tetapi banyak produk industri kecil sederhana (IKS) diusahakan, malah ada yang terbabit sebagai pengusaha kedai emas dan pengusaha batik terkenal.

Menjawab pertanyaan Perdana Menteri melalui siding video itu tentang ada atau tidak ‘design’ baru batik Terengganu, Dato’ Seri Ahmad memberitahu seorang profesor telah dilantik mengetuai penghasilan ‘design’ baru batik.

Dua lagi sidang televideo antara Perdana Menteri ialah dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad bersama isteri To’ Puan Norliza selepas itu bersama-sama dengan kepimpinan wanita Terengganu dan jemputan sempena Majlis Berbuka Puasa di Seri Iman.

Qariah terkenal sejak sekian lama yang berasal dari Terengganu, Dato’ Hajah Rogayah Sulong telah diumumkan sebagai Tokoh Wanita Terengganu sempena sambutan Hari Wanita Negeri yang diadakan serentak itu.

Hadir sama di majlis yang penuh bersejarah itu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.

TEGANUKITA