Halaman

22 August 2010

FAMA Beli 63 Metrik Tan Duku Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membeli sebanyak 63 metrik tan buah duku bernilai RM72,000 di Terengganu sejak awal Ogos sehinggalah dini hari.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Hasan Jusoh berkata langkah agensi pemasaran itu membeli buah duku adalah bertujuan untuk mengatasi lambakan buah tersebut.

"Kebun duku terutamanya di beberapa daerah di Terengganu sekarang ini sedang masak dan dipetik oleh petani," katanya ketika dihubungi Bernama.

Hasan berkata kebetulan sekarang ini bulan puasa, menyebabkan buah duku banyak di pasaran dan harganya jatuh sehingga 90 sen sekilo.

Beliau berkata kerana itu, FAMA akan membeli seberapa banyak buah duku yang ada bagi memastikan petani-petani tidak mengalami kerugian.

Hasan berkata FAMA membeli buah duku daripada petani pada harga RM1.20 sekilogram, dan kebanyakan buah duku itu dijual semula di Lembah Klang, Perak dan Johor.

Daerah Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun merupakan kawasan yang paling banyak mengeluarkan duku di Terengganu pada tahun ini, katanya.

Bagaimana pun, beberapa kawasan duku di daerah Kuala Terengganu, seperti Pulau Rusa, Mansir, Kepong, Sungai Rengas, Pulau Musang dan Serada tidak menjadi pada musim ini, katanya.

Hasan berkata tahun ini, FAMA mewujudkan beberapa pusat pengumpulan di daerah Hulu Terengganu dan Dungun bagi memudahkan petani-petani menjual duku kepada agensi itu.

-- BERNAMA