Halaman

17 August 2010

Sampaikan Transformasi Kerajaan, Ekonomi dan RMK10 Kepada Rakyat

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Aida Abd Rahman


Dato' Seri Hishammudin menyampaikan cek RM2000 kepada wakil sekolah untuk akaun Tabung Haji kepada 1000 orang pelajar Sekolah Menengah Seri Nilam sambil diperhatikan Dato' Seri Ahmad Said di Majlis Berbuka Puasa di Dun Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein berharap program tranformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) merupakan perkara asas yang perlu disampaikan ke pengetahuan rakyat supaya difahami apa yang sedang kerajaan jalankan untuk rakyat dan negara.

Pada masa yang sama katanya di peringkat parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) juga telah dilakukan transformasi, termasuk beberapa pindaan perlembagaan yang telah dilaksanakan.

“Semua ini adalah perkara-perkara penting yang kita bincangkan untuk disampaikan kepada rakyat ke arah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu di sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu, di Bangunan Umno Negeri Terengganu, petang semalam (15 Ogos).

Program transformasi kerajaan termasuklah membanteras jenayah, rasuah, mencemerlangkan pendidikan, taraf hidup rakyat, tumpuan kepada prasarana dan pengangkutan awam, manakala tranformasi ekonomi ialah dengan memperkenalkan Model Baru Ekonomi.

Manakala RMK10 (2011-2015) diperuntukkan sebanyak RM230 ribu juta untuk mencarta perjalanan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Dato’ Seri Hishamuddin menyatakan, sememangnya ada usaha-usaha pembangkang melontarkan pelbagai isu tetapi rata-rata rakyat tetap rapat dengan kerajaan dan parti yang memerintah negara sekarang, terutamanya di peringkat akar umbi.


Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kawasan menyambut ketibaan Dato' Seri Hishamuddin di Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Sri Nilam Dun Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Apa yang penting ialah perkhidmatan wakil rakyat BN agar dipastikan benar-benar menjadi wakil rakyat yang berkesan, katanya.

Turut bersama dalam sidang akhbar tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan).

Sementara itu, di majlis berbuka puasa bersama kakitangan kerajaan dan penduduk setempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, pada sebelah petangnya, Dato’ Seri Hishamuddin meminta semua pemimpin supaya mengukuhkan semangat persahabatan kerana sikap itu akan menentukan jatuh bangunnnya setiap kelompok masyarakat termasuk dalam politik.

Katanya, semangat persahabatan itu mampu membawa makna tersendiri dalam dunia kini yang penuh cabaran dan ianya menguji kita sama ada mampu untuk sama-sama berjuang membawa pembangunan yang tiada sempadannya.

Di majlis itu, Dato’ Seri Hishamuddin diiringi Menteri Besar dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyampaikan Dana Hari Raya kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam serta penyerahan akaun Tabung Haji mengandungi RM1,000 setiap seorang kepada 1,000 pelajar SMK Seri Nilam.

TEGANUKITA