Halaman

22 August 2010

Agong Dan Permaisuri Agong Sampaikan Bantuan Kepada Fakir Miskin

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini berkenan mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengurniaan bantuan daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu melibatkan 120 orang fakir miskin dan 210 pelajar sekolah daripada keluarga miskin dari seluruh negeri Terengganu.

Tuanku Mizan yang juga Pengerusi YDSM menyampaikan bantuan kepada pelajar berkenaan dan penerima lelaki manakala Tuanku Nur Zahirah menyampaikan bantuan kepada penerima wanita.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut hadir pada majlis itu. Program amal YDSM bermula pada 2006 dan untuk program bantuan hari ini YDSM memperuntukkan sebanyak RM80,000.

Sementara itu seorang daripada penerima, Yusof Mat Zain, 80, dari Kampung Buluh, Hulu Terengganu ketika ditemui pemberita menyatakan rasa syukur di atas bantuan yang diberikan itu.

"Saya sangat gembira menerima pemberian ini, bolehlah saya membuat persiapan raya nanti," katanya.

-- BERNAMA