Halaman

29 August 2010

Agih kurma dari rumah ke rumah

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diarah supaya mengagihkan kurma dan air zam zam ke setiap rumah di kawasan kampung masing-masing bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Beliau berkata, tahun lalu terdapat segelintir penduduk tidak menerima kemudahan tersebut kerana cara pengagihannya kurang cekap.

Menurut beliau, di sesetengah kawasan JKKK hanya meletakkan buah kurma dan air zam-zam tersebut di masjid, bukannya mengagihkan dari rumah ke rumah seperti yang diarah oleh pihak berkuasa.

Justeru itu, katanya, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

Kerajaan Terengganu mengagihkan secara percuma kurma dan air zam zam kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan sejak 2008, bagi membolehkan orang ramai menikmati makanan yang menjadi hidangan istimewa umat Islam tersebut.

Tahun lalu 300,0000 bungkus buah kurma dan air zam zam diagih di seluruh negeri sejak mula umat islam berpuasa.

Ahmad berkata, tahun ini bekalan kurma diperolehi dari Tunisia dan dihantar ke Terengganu secara berperingkat-peringkat sejak minggu lalu.

“Di sesetengah kawasan sudah ada rakyat yang sudah mendapat buah kurma manakala sebahagian lagi akan mendapatnya minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun ini sebanyak 250 ribu bungkusan air zam zam dan buah kurma akan diagih kepada rakyat, tetapi kosnya belum dapat dipastikan.

“Berbeza dengan tahun lepas, pada tahun ini kita pilih syarikat yang berlainan bagi membekalkan buah kurma dan air zam zam,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) memmberikan maklumat terperinci mengenai penduduk di kawasan berkenaan, bagi memastikan tidak ada penduduk yang tercicir.

TEGANUKITA