Halaman

01 July 2010

Kerajaan Buka 40,000 Hektar Ladang Kelapa Sawit di Indonesia

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui syarikat miliknya, TDM Berhad akan membuka ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar di Kalimantan, Indonesia dan fasa pertama 850 hektar telah pun selesai ditanam.

“Tahun ini kita akan tanam 500 hektar lagi,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita di majlis penyerahan dividen dan keuntungan TDM Berhad kepada kerajaan negeri di Wisma Darul Iman hari ini (30 Jun).

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga telah mengenal pasti kawasan seluas 8,000 hektar di Cemerong, Kemaman dan hasil kajian 6,000 hektar sesuai untuk tanaman kelapa sawit manakala 2,000 hektar tidak sesuai untuk tanaman itu.

Dalam majlis itu, Dato’ Ahmad mewakili agensi kerajaan negeri menerima tiga replika cek bernilai RM21.5 juta daripada Pengerusi TDM Berhad, Datuk Roslan Awang Chik. Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail

Ia merupakan pembayaran dividen bagi tahun 2009 kepada Agensi Kerajaan Negeri Terengganu, membabitkan RM14.8 juta, RM1.6 juta kepada Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan RM5.033 juta kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Katanya, lain-lain agensi yang menerima agihan dividen termasuklah Permodalan Terengganu Berhad (PTB), Yayasan Terengganu, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu dan Pesama Timber Copration.

“Tahniah dan syabas kepada TDM, kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu menarik dan keadaan harga yang tidak stabil tapi masih mampu membuat keuntungan sebanyak RM77.5 juta tahun lalu,” katanya.

TDM katanya, berusaha untuk membuat bayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus dari keuntungan bersih tahunan disatukan selepas cukai dan faedah minoriti setiap tahun serta bergantung kepada kesediaan hasil yang boleh diagih.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu, TDM membayar dividen 12 sen bersih sesaham, jumlah ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 10.5 sen sesaham,” katanya.

TDM Berhad adalah syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri dan operasi teras dalam tiga sektor iaitu perladangan dengan mengurus 12 ladang kelapa sawit, penjagaan kesihatan memilik tiga pusat perubatan di Kelana Jaya, Selangor, Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu.

Manakala bahagian makanan, di bawah TDM Poultry di Chendering menternak ayam itik secara intergrasi di samping mempunyai visi mantap dalam aktiviti berasaskan pertanian dan menghasilkan daging ayam itik halal dalam pasaran tempatan.

TEGANUKITA