Halaman

16 June 2010

Rakyat Terengganu Sumbang Tabung Gaza

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kesengsaraan penduduk di Palestin yang dizalimi tentera rejim zionis Israel mendapat perhatian kerajaan negeri serta rakyat Terengganu apabila sebanyak RM121,258.80 berjaya dikumpulkan untuk Tabung Gaza.

Kesemua sumbangan yang terkumpul diserahkan oleh wakil penyumbang kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO).

Sumbangan itu termasuk RM50,000 daripada Kerajaan Terengganu, Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu (RM5,000); TADC (RM5,000); Q-Bena (RM5,000); Gerakan Belia 4B (RM5,000) dan Pasar Raya Maiden Mall (RM10,000).

Sementara itu, Tun Dr Mahathir menggesa Mesir agar tidak terlalu mengikut telunjuk Israel yang mengadakan pemeriksaan ketat terhadap bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada penduduk Palestin di sempadan Rafah dengan alasan misi bantuan berkenaan turut membawa senjata .

Katanya, Israel bertindak dengan pelbagai cara untuk memastikan bantuan tersebut tidak sampai atau lambat tiba kepada penduduk Palestin yang memerlukannya bagi meneruskan hidup.

"Ini adalah helah Israel sahaja (mendakwa misi bantuan membawa senjata). Saya berharap kerajaan Mesir tidak akan memberi kerjasama kepada Israel," katanya ketika sidang akhbar pada program perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (14 Jun).

Beliau berkata Israel melakukan tekanan itu sebagai tindakan halus rejim berkenaan bagi memusnahkan bangsa Palestin secara beramai-ramai atau genosid.

Tun Dr Mahathir berkata sehubungan itu, Israel akan cuba sedaya upaya menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dalam usaha mengurangkan jumlah penduduk di Semenanjung Gaza.

"Bila penduduk Palestin tiada bekalan makanan yang cukup, ubat-ubatan, tidak mampu hidup sempurna.. tidak ada rumah dan terpaksa hidup dalam khemah, dalam musim sejuk umpamanya, tua dan daif menyebabkan mereka akan mati kerana kesejukan," katanya.

Katanya, walaupun sukarelawan gagal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, namun apa yang berlaku kepada mereka berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman Israel yang tergamak membunuh orang tidak bersenjata.

"Dunia kini sudah tahu bahawa rejim Israel bukan sahaja sanggup bunuh musuh mereka iaitu orang-orang Palestin, tetapi Turki yang mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka pun mereka sanggup bunuh," katanya sebagai merujuk kepada tragedi 31 Mei lalu apabila tentera regim Zionis bertindak kejam membunuh sembilan aktivis serta menahan puluhan sukarelawan, termasuk 12 rakyat Malaysia, yang berada di atas kapal `Mavi Marmara’ di perairan antarabangsa ketika perjalanan ke Gaza bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

TEGANUKITA