Halaman

16 June 2010

Batik Terengganu ke Perancis, Itali dan Sepanyol

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha memperkenal dan mempopularkan batik Terengganu di luar negara, Kerajaan Terengganu akan mengadakan promosi batik dan songket di Perancis, Itali dan Sepanyol pada Oktober ini.

Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Haji Azmi Razik berkata promosi yang bakal berlangsung di Paris, Milan dan Barcelona akan diketuai Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

“Batik merupakan satu produk yang mempunyai komersial dan nilai tersendiri serta mampu menembusi pasaran luar negara jika diadakan promosi dan kaedah pemasaran yang baik melibatkan semua pihak yang terlibat dalam industri itu.

"Promosi yang akan diadakan selama seminggu itu akan disertai pengusaha batik dan songket serta usahawan Terengganu," katanya.

Sementara itu, Haji Azmi berkata YPU akan membuka kedai T'Craft pertama di Melaka International Trade Centre pada 12 Jun ini yang akan menjual dan mempromosi pelbagai barangan kraf Terengganu.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk membuka T'Craft di setiap bandar utama di Semenanjung Malaysia bagi membolehkan rakyat negara ini membeli kraftangan Terengganu di kawasan mereka tinggal.

Mengulas mengenai T'Shoppe, Azmi berkata YPU mensasarkan 100 cawangan di seluruh negara menjelang 2013.

Sehingga kini terdapat 11 cawangan T'Shoppe di Terengganu, Melaka, Kedah dan Selangor.

TEGANUKITA