Halaman

04 May 2010

Produk IKS Terengganu Raih Jualan RM6.7 Juta di Dubai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Mohamed Awang Tera menjamah kek di Galeri Kek Manjaerana sambil diberi penerangan oleh pengurusnya, Johana Ibrahim pada majlis perasmian Ekspo Industri Desa di Pusat Dagangan Terengganu.

Inisiatif Kerajaan Terengganu membawa enam pengusaha produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan yang berdaya maju ke Pameran Gulfood 2010, Dubai pada Mac lalu nyata berbaloi apabila meraih kontrak jualan RM6.7 juta.

Ekspo makanan kedua terbesar dunia yang mengkhusus kepada produk halal itu membuka mata dan memberi semangat kepada Kerajaan Terengganu dan juga pengusaha produk IKS menawarkan pelbagai barangan yang boleh mendapat perhatian di pasaran Timur Tengah yang menepati aspek kualiti produk dan persijilan (Halal, GMP dan HACCP).

Antara produk yang dipamerkan Terengganu di ekspo itu termasuklah jus roselle, makanan yang ditinkan, produk penjagaan kulit dan kesihatan berasaskan serai, minuman tenaga dan cuka yang dihasilkan daripada nipah, kopi segera campuran ginseng dan Tongkat Ali serta keropok lekor sejuk beku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera yang mengetuai rombongan ke pameran berkenaan bersama sekumpulan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengambil inisiatif mempamerkan barangan yang mampu mendapat pasaran dan tarikan pelanggan di rantau itu dan negara sekitarnya.

Katanya, penyertaan sulung Terengganu itu menjadi sebahagian daripada program Kerajaan Terengganu dalam usaha mempromosikan perusahaan IKS tempatan dan melebarkan sayap memasarkan barangan IKS ke luar negara serta meningkatkan ekonomi negeri.

"Sebab itu sekarang ini, YPU mengambil inisiatif untuk membina Halal Park (pusat makanan halal) di Chendering untuk dikembangkan lagi supaya menjadi asas kepada kita untuk mengeksport produk halal Terengganu ke luar negara.

“Jadi kita bersemangat dan tidak sangka kerana produk kita mempunyai potensi sejauh itu..Pertama kali kita atur dan susun program dengan menjurus kepada promosi kepada ejen dan penjual di negara itu ternyata mereka berminat dan membuat perjanjian jualan sebanyak itu,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Industri Desa, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini (29 April).

Hadir sama, Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi Negeri, Mohamed Awang Tera melawat gerai-gerai selepas perasmian Ekspo Industri Desa.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga giat memasarkan produk IKS menerusi kedai serbaneka, T-Shoppe di seluruh Malaysia sebagai saluran untuk usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Haji Azmi berkata, pihaknya mensasarkan 70 peratus daripada produk IKS dijangka dapat dipasarkan menerusi T-Shoppe dalam tempoh tiga tahun lagi, berbanding hanya 30 peratus produk IKS dalam rangkaian kedai itu sejak dibuka pada tahun lalu.

”Kita mensasarkan 70 peratus produk IKS dapat dijual di T-Shoppe yang diwujudkan di seluruh Terengganu dan luar Terengganu dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sehingga kini, hanya 30 peratus produk IKS yang berjaya ditempatkan di 10 rangkaian T-Shoppe seluruh Terengganu termasuk yang baru dibuka di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah.

T-Shoppe terbaru di luar Terengganu bakal dibuka tidak lama lagi di Melaka, sebelum menjelangnya temasya Sukan Malaysia ke-13 di Melaka pada Jun ini.

Beliau berkata, hasil jualan di T-Shoppe amat memberangsangkan kerana ada rangkaian kedai itu mampu meraih hasil jualan sehingga RM1,000 sehari.

TEGANUKITA