Halaman

14 April 2010

Orang Asli Sungai Berua Bakal Hidup Selesa

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Masyarakat Orang Asli Sungai Berua di Hulu Terengganu bakal menikmati kehidupan yang lebih selesa apabila setiap keluarga bakal mengusahakan 2.4 hektar ladang kelapa sawit berbanding hanya 60 hektar yang diusahakan hampir 100 keluarga sebelum ini.

Malah, kerajaan negeri juga meluluskan serta-merta pembinaan 40 unit rumah mampu milik yang mempunyai tiga bilik kepada keluarga orang asli yang sebelum ini terpaksa berkongsi dengan dua hingga empat keluarga dalam satu rumah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata usaha kerajaan itu mampu meningkatkan pendapatan mereka dan mengelak golongan itu memasuki hutan sehingga berminggu-minggu lamanya untuk mencari hasil hutan seperti rotan, gaharu atau damar untuk dijual bagi menambah pendapatan.

Katanya, inisiatif kerajaan juga mengelak daripada mereka terus memburu hasil hutan dan melanggar undang-undang akibat mengambil species hutan yang harus dilindungi, apatah lagi species itu semakin pupus.

Dato’ Ahmad, berkata kerajaan juga tidak mahu orang tengah menindas dan mengeksploitasi masyarakat Orang Asli yang membeli hasil hutan diperolehi mereka seperti gaharu dan rotan yang berkualiti dengan harga yang murah.

“Saya melihat kalau ada 60 hektar (ladang kelapa sawit) dengan 88 keluarga yang semakin bertambah sudah tentu tidak menguntungkan mereka. Sebagaimana dikatakan tadi, RM1,200 setahun (pendapatan) apa yang kita dapat?

“Di bawah paras kemiskinan pun, satu keluarga sudah RM115 - RM122 seorang per kapita. Ini RM100 (sebulan) tak sepatutnya berlaku dalam keadaan kita sudah 53 tahun merdeka ini. Justeru itu kalau nak buka ladang kita beri dalam kadar yang biasa enam ekar seorang,” kata beliau ketika sidang akhbar sejurus menyampaikan sumbangan hamper kepada masyarakat Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, semalam (12 April).

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Mohd Sani Mistam, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, YB Rozi Mamat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Haji Mohd Zawawi Ismail.

Dato’ Ahmad berkata, beliau meminta Ketua Pengarah JHEOA memastikan kewangan dan peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 mencukupi bagi memulakan projek perladangan berkenaan dalam kadar yang segera.

“Saya bimbang kalau ada 600 ekar, kewangan tidak cukup pulak..Kalau tak cukup bagitau kita sebab kita nak pastikan kelapa sawit selepas tempoh tiga tahun boleh mengeluarkan hasil.

“Benih yang berumur 12 hingga 14 bulan mengambil masa tiga tahun sahaja Pastikan benih berkualiti yang jika ditanam, dengan penjagaan rapi dapat memberi pendapat lumayan,” kata beliau lagi.

Menteri Besar berkata, perubahan taraf hidup dan keselesaan yang dikecapi golongan itu kelak boleh mengubah persepsi umum terhadap mereka selain golongan itu juga tidak berasa terasing dan rendah diri untuk berdepan dengan masyarakat apabila keluar ke bandar.

Kerajaan negeri juga meluluskan RM20 ribu untuk membangunkan Taman Sains dalam Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Berua sebagai tarikan baru untuk menarik minat anak-anak golongan itu ke sekolah dan mengikuti pelajaran dengan lebih baik.

TEGANUKITA