Halaman

06 April 2010

Membina Tamadun Terengganu Baru

Oleh: AIDA ABD RAHMAN / ESAH ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (kiri) menyerahkan teks ucapan Pembukaan Penggal Persidangan ke-3 Dewan Undangan Negeri Yang ke-12 kepada Tengku Sri Panglima Raja. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu suatu masa dahulu memang terkenal sebagai negeri yang mempunyai ramai para alim ulama. Penyebaran dakwah begitu berkesan sekali sehingga ramai anak-anak tempatan memiliki pendidikan agama yang baik.

Usaha mengembalikan era zaman kegemilangan alim ulama ini perlu disanjungi.
Sehubungan ini, kita difahamkan Kerajaan Terengganu beriltizam untuk Membina Tamadun Terengganu Baru dengan menjadikan negeri ini sebagai pusat kajian dan penyelidikan al-Quran peringkat antarabangsa.

“Maka akan lahirlah nanti para ilmuan, intelek dan pakar dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja mampu menguasai bidang-bidang agama dan hafazan al-Quran tetapi juga turut mampu menerokai bidang Sains dan Teknologi.

“Ini landasan yang perlu dibina ke arah mewujudkan masyarakat Ulul Albab.Pembinaan sekolah Imtiaz perlu diadakan di setiap daerah bagi memberi peluang anak-anak negeri belajar agama dengan lebih bersistematik,” kata Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman sempena Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN)) Yang Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (5 April).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri To’ Puan Halijah Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.


Tengku Sri Panglima Raja memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan diiringi Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I, Dato’ Mohd Shukri Dahlan.

Hadir sama, kerabat raja, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Tengku Sri Panglima berkata, mudah-mudahan masyarakat Islam di negeri ini akan menjadi umat terbaik (khaira ummah) dan umat yang seimbang (ummatan wasata) dalam aspek fizikal, emosi, intelek dan rohani seterusnya dapat mengurangkan kepincangan sosial.

Katanya, kesihatan yang baik adalah nikmat. Justeru itu, perancangan ke arah meningkatkan taraf kesihatan rakyat ke arah kehidupan yang lebih berkualiti hendaklah diberi keutamaan.

“Kelengkapan perkhidmatan perubatan perlu dipertingkatkan dengan mengambil kira kepereluan kehendak semasa seperti pembinaan Pusar Rawatan Jantung. Tidak ketinggalan juga pembangunan fizikal bagi hospital-hospital daerah perlu diberi keutamaan.

"Berada di pentas global yang mengamalkan penggunaan teknologi maklumat secara meluas memerlukan kita sentiasa bersedia dengan perubahan teknologi yang pantas berubah dan baru,” katanya.

Kesempatan ini perlu diambil segera dengan melengkapkan keupayaan perisian, perkakasan dan peralatan ICT kearah mewujudkan pentadbiran kerajaan elektronik terkini.

Selain itu, beliau berkeyakinan penggunaan ICT secara meluas dalam pentadbiran Kerajaan Terengganu akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Koridor Raya Multimedia Pantai Timur (MSC) yang akan melibatkan persefakatan antara pihak kerajaan, swasta dan orang awam.

Oleh yang demikian, penggunaan sistem ICT e-Kerajaan Bersepadu Negeri Terengganu (TeG) sudah pasti dapat menambah keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian di samping dapat mengatasi kerenah birokrasi yang telah lama diperkatakan.

“Langkah kerajaan negeri memperkenalkan e-Book kepada pelajar sekolah rendah dan TB Kids kepada kanak-kanak Tadika harus diberi pujian.

"Langkah awal ini telah mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Pelajar diberi pendedahan minda ke arah ICT, mempunyai minda yang lebih terbuka, berfikiran kreatif dan inovatif,” katanya.

Dalam menjayakan sistem pembelajaran berkonsepkan teknologi elektronik pada 2009 seramai 23,400 pelajar telah dibekalkan dengan e-Book.

Manakala pada 2010 dijangkakan lebih 50, 000 pelajar Tahun Empat dan Tahun Lima termasuk guru yang mengajar Tahun Enam akan dibekalkan e-Book.


Tengku Sri Panglima Raja bersalaman dengan hadirin selepas menyempurnakan istiadat pembukaan penggal persidangan DUN Terengganu.

Malah, e-Book ini juga akan dipanjangkan penggunaannya juga ke peringkat sekolah menengah rendah pada masa depan.

“Kita dimaklumkan bahawa program TB Kids yang dilaksanakan di 16 Tabika Perpaduan telah terbukti amat berkesan dan turut menambah minat belajar kanak-kanak.

“Justeru, kita berharap pelajar gunakanlah sebaik mungkin kemudahan yang diberikan ini agar hasrat kerajaan mewujudkan sebuah masyarakat bermaklumat benar-benar tercapai,” katanya.

Katanya, kita juga difahamkan penggunaan e-Book telah menarik minat bukan sahaja dari dalam negeri seperti Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang bahkan juga dari luar negara seperti Indonesia, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua negara berkenaan telah membuat tempahan awal masing-masing sebanyak 200 unit bagi menguji keberkesanannya sebelum pelaksanaan secara lebih menyeluruh.

Sebelum itu, beliau menyempurnakan istiadat pembukaan penggal persidangan yang ketiga DUN yang ke-12 dengan memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan diiringi Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I, Dato’ Mohd Shukri Dahlan.

TEGANUKITA