Halaman

17 April 2010

MB Ketuai Kontinjen Terengganu Iring Calon BN

Laporan Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan dari Hulu Selangor

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said mengetuai kontinjen Terengganu mengiring calon Barisan Nasional (BN) ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor (P094) di Hulu Selangor, hari ini.

Kira-kira 200 orang termasuk pemimpin kanan dan jentera serta petugas parti UMNO Terengganu turut menyertai perarakan mengiring calon BN ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks SukanPejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru.
Pilihan raya kecil Parlimen kerusi Hulu Selangor pada 25 April depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan yang merupakan calon BN akan ditentang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili PKR dan dua calon Bebas iaitu bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang peniaga.

Senarai calon yang bertanding pada pilihan raya itu itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor, kira-kira jam 11.15 pagi.

Keempat-empat calon berkenaan menyerahkan borang pencalonan masing-masing selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi. Tiada bantahan semasa tempoh bantahan selama satu jam.

Zaid yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.06 pagi merupakan calon pertama berbuat demikian, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran (9.34 pagi) dan Johan pada 9.36 pagi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Kawasan tersebut mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandangnya ketika itu Datuk G. Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.

Parlimen Hulu Selangor terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali, yang ketiga-tiganya dikuasai BN.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat UMNO Hulu Selangor.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib-naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil ini Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong turut hadir.

Pemimpin Terengganu lain yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

TEGANUKITA