Halaman

23 March 2010

TADC Pembekal Benih Kerapu Utama Negara

Oleh: Suriati Ali

Projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu berteknologi tinggi yang diusahakan Terengganu Agrotech Development Corp.Sdn Bhd (TADC) bakal mengubah sosio ekonomi penduduk apabila mengeluarkan hasil kelak.

Buat permulaan, 5,000 benih kerapu oren dan harimau diternak secara berasingan di dalam 2,000 sangkar khas di kawasan Tanjung Demong, Besut.
Untuk mendapat kuantiti dan kualiti ikan yang diingini, TADC mendapat kerjasama Seraya Akuatik (M) Sdn Bhd, Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata penglibatan secara langsung 250 penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil laut dan tanaman sekurang-kurangnya dapat mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

“Mereka yang sudah mempunyai asas berkaitan ternakan ikan bakal memperoleh pendapatan sampingan antara RM500 hingga RM600 sebulan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ke kawasan Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Tanjung Demong, Besut.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Encik Rozi Mamat, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Dr Abdullah Muhammad Zin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Selain memberi fokus untuk membasmi kemiskinan, TADC berhasrat menjadikan Terengganu sebagai pembekal benih dan ikan kerapu utama negara.

Dato’ Ahmad berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju menjadikan hasil projek di Tanjung Demong sebagai pembekal utama pembenihan dan pengeluaran ikan kerapu bagi keperluan pasaran tempatan dan luar negara.

“Keputusan itu mampu menjadikan TADC mendapat pengiktirafan selain mempunyai daya saing kerana menjadi pembekal utama pembenihan dan ikan kerapu utama negara.

“Projek yang diusahakan ini adalah inisiatif kerajaan untuk menjana ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat terutama nelayan serta petani,” katanya.

TEGANUKITA