Halaman

08 March 2010

Puteri Islam Bantu Tangani Masalah Pelajar

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri menyarankan Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Terengganu (PPIM) menjadi Badan Bukan Kerajaan (NGO) perintis yang dapat membantu pihak sekolah mendekati pelajar bermasalah di negeri ini bagi menangani permasalahan golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya akan mengenal pasti kumpulan pelajar bermasalah dari sekolah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir untuk diketengahkan dalam program bersama PPIM.

“Kategori budak bermasalah ini banyak, ada masalah di rumah dia (pelajar) yang tak boleh pergi sekolah adalah isu-isu dia dan mungkin ada juga isu kemiskinan.

“Sekolah kadang-kadang tiada masa untuk mereka (guru) tengok dan melihat setiap masalah pelajar.Peranan ini saya nak diambil melalui komuniti. Komuniti membantu, kadang-kadang Puteri Islam pergi melihat keadaan realiti pelajar ini dan beri makluman kepada kerajaan negeri,” kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-12 2010, di Permai Inn, Kuala Terengganu, semalam (6 Mac).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud yang juga pengerusi PPIM dan isteri Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Hajah Halina Zakaria.

Beliau berkata, kadang-kadang permasalahan pelajar berlaku di luar pengetahuan guru dan tiada maklumat tepat yang diperolehi menyebabkan peranan untuk mengenal pasti punca dan mengatasinya masalah itu perlu diambil oleh semua pihak termasuk NGO seperti Puteri Islam.

Haji Ahmad Razif berkata, pada peringkat awal pihaknya akan membekalkan hamper kepada PPIM untuk dibawa ke rumah pelajar bermasalah yang dikenal pasti bagi mendekati mereka dan mengetahui permasalahan mereka.

“Jika program itu betul-betul menunjukkan kejayaan, tahun depan kita boleh memperuntukkan satu bajet untuk pertubuhan NGO ini bagi membantu pihak sekolah.

“Apabila kurangnya permasalahan pelajar di sekolah, maka cikgu akan rasa selesa dan seronok, sekaligus memberi motivasi kepada guru dan pelajar sendiri, sebab pelajar pun tiada gangguan. Masalah vandalisme pun tidak akan berlaku, maka secara automatik keputusan peperiksaan pun akan meningkat lebih baik lagi dan ini salah satu cara memberi lompatan saujana kepada akademik di Terengganu” katanya.

Haji Ahmad Razif turut meminta semua pihak mempraktikkan `cara lama dimensi baru’ dalam membentuk sahsiah pelajar hari ini supaya golongan pelajar terus dibimbing dan diberi motivasi mengenai adat susila yang diwarisi generasi terdahulu yang boleh ditunjangi dalam kehidupan mereka.

Katanya, keakraban yang terjalin antara guru dan ibu bapa sebagaimana dilakukan oleh generasi guru terdahulu sepatutnya terus diamalkan bagi memastikan setiap masalah pelajar dapat dikongsi bersama dan dielakkan.

Beliau turut meminta semua komuniti dan jabatan kerajaan memainkan peranan menyampaikan maklumat melalui bengkel atau ceramah bagi menyedarkan pelajar dan memberi motivasi supaya mereka membina sahsiah yang baik.

TEGANUKITA