Halaman

23 March 2010

MB Ajak Rakyat Bersyukur

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengajak seluruh rakyat Terengganu, khususnya penganut agama Islam agar bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t di mana negeri ini mendapat rezeki yang melimpah ruah, termasuk minyak, gas dan petroleum.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta penduduk tempatan agar menjaga dengan sempurna keindahan semulajadi, keamanan negara dan bumi yang subur yang menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini.

“Selain itu beberapa penemuan baru termasuk bahan galian yang akan diumumkan kelak akan menjadikan negeri ini tidak lagi bergantung kepada sumber tradisi seperti minyak dan gas,” katanya dalam ucapan ringkas pada Majlis Doa Selamat Sempena Dua Tahun Pemerintahan Menteri Besar, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi (22 Mac).

Kira-kira 350 tetamu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Encik Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri YB Encik Rozi Mamat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Abdul Rahman Mokhtar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’
Abdul Razak Ismail, beberapa pegawai kanan kerajaan hadir di Majlis itu.

Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan diikuti solat hajat, tahlil dan solat Isyak.

Dato’ Ahmad turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan para tetamu yang turut disajikan hidangan makan malam.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar yakin Kerajaan Pusat akan memberi perhatian sewajarnya berhubung bayaran royalti minyak kepada Terengganu selepas beliau menemui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak minggu lalu.

TEGANUKITA