Halaman

27 February 2010

Terengganu Catat Peningkatan STPM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong (tengah) bersama pelajar cemerlang STPM Sek Men. Agama Durian Guling. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Terengganu mencatat peningkatan dalam pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu, hari ini (25 Fabruari).


Malah, pencapaian calon yang mendapat 5 Prinsipal meningkat kepada 8.44 peratus (2009) berbanding 6.34 peratus pada tahun sebelumnya atau peningkatan 2.78 peratus.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Ariffin Embong, berkata pelajar yang mencapai PNGK 3.00 hingga 4.00 juga meningkat daripada 647 pelajar atau 22.80 peratus pada 2008 kepada 721 pelajar atau calon 24.7 peratus (2009) iaitu pertambahan 1.9 peratus.



Hadawiyah Mohamad dari Sek Men. Lela Segara menunjukkan slip keputusan yang memperolehi keputusan 5A STPM.

Katanya, sebanyak 13 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh daripada
52 sekolah yang mengambil peperiksaan itu di Terengganu.

Sekolah berkenaan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang yang memperolehi 3.14 (PNGK), SMK Tengku Ibrahim Setiu (2.87); SMKA Nurul Ittifaq, Besut (2.85); SMK Putra, Besut (2.76); SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (2.70); SMK Bukit Payong, Besut (2.68); SMK Landas, Hulu Terengganu (2.56) dan SMK Chung Hwa Wei Sin.

Lain-lain sekolah adalah SMK Penarek, Setiu (2.50); SMK Seri Nering, Besut (2.46); SM Teknik Terengganu (2.30); SMK Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu (2.21) dan SMK Bukit Nenas, Setiu (1.63).

Seorang pelajar cemerlang STPM, Mohamad Hafiz Ahmad Zaidi, 20, dari Kampung Losong, Kuala Terengganu mencatat sejarah buat SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu apabila muncul pelajar pertama yang mendapat PNGK 4.00 atau 4A sejak lebih 30 tahun sekolah itu ditubuhkan.


Pelajar Sek Men Lela Segara gembira selepas memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM.

Mohamad Hafiz berasal dan bersekolah di Kuala Kangsar, Perak sebelum bertukar ke SMK Sultan Ahmad hampir dua tahun lalu memperolehi A untuk semua subjek diambil (Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi) merupakan antara lapan pelajar seluruh Terengganu yang memperolehi PNGK 4.00.

“Saya memang menyasarkan untuk mendapat 4A dan Alhamdulillah tercapai hasil usaha dan disiplin yang saya amalkan sejak berada di tingkatan enam.

“Saya dapati teknik belajar sendiri yang diamalkan ketika Sijil Pelajaran Malaysia dulu kurang berhasil dan saya mengubah dengan mengikut cara guru mengikut subjek masing-masing ketika STPM ,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik pasangan, Ahmad Zaidi Mokhtar, 45 dan Nur Sofiah Abdul Kadir, 45, yang berperanan sebagai ketua kelas, pengawas dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung peringkat sekolah itu berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi.

TEGANUKITA