Halaman

04 February 2010

Dana Tahun Baru Cina RM2.6 Juta

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.6 juta bagi tahun ini untuk mengagihkan Dana Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tiong Hua yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sempena sambutan perayaan masyarakat itu minggu depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata sumbangan itu sebagaimana juga sumbangan kepada masyarakat Melayu dan India pada sambutan perayaan masing-masing yang diagihkan pada setiap tahun yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dana setiap tahun seperti biasa kita agihkan kepada rakyat di Terengganu dan sekarang kerana hampir Tahun Baru Cina kita agihkan kepada masyarakat Tiong Hua lebih kurang 9,092 orang seluruh Terengganu melibatkan kos RM2.6 juta.

“Hari ini difahamkan lebih daripada 2,000 melibakan Cukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik..Mereka terima wang tunai dengan jumlah RM300 bagi keluarga biasa dan remaja RM200,” kata beliau selepas pengagihan Dana Tahun Baru Cina, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, semalam (3 Februari).

Peruntukan itu akan diagihkan secara berperingkat-peringkat dimulakan di Kemaman yang dijangka selesai keseluruhan pada 10 Februari ini.

Menteri Besar berkata, beliau yakin jika dibuat pengukuran sebenar, ramai penerima kali ini tidak layak mendapat dana berdasarkan pendapatan yang lebih besar berbanding syarat sepatutnya, bagaimanapun kerajaan negeri tetap menyalurkan sumbangan itu pada setiap kali tiba musim perayaan.

Katanya, kerajaan negeri hanya meminta (balasan) daripada penerima sekali sahaja dalam tempoh lima tahun iaitu ketika pilihan raya umum dijalankan dengan memilih kerajaan BN yang sudah terbukti memperjuangkan nasib semua kaum di negeri ini.

Dato’ Ahmad berkata, dana itu juga sedikit sebanyak memberi faedah kepada masyarakat Cina berbanding dengan masyarakat Melayu yang lazimnya akan segera berbelanja di kedai-kedai milik kaum Cina sebaik sahaja mendapat dana masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana bangsa dalam melaksanakan pembangunan termasuk dalam aspek pendidikan di mana sebagai contoh, kerajaan baru-baru ini memilih untuk menaja dua pelajar Cina membuat A-Level sebelum dihantar belajar di universiti terbaik dunia.

UKOM