Halaman

04 January 2010

Permata UTM Terima RM115,000

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Presiden Permata (dua kiri) menyerahkan tandatangan khas sokongan mahasiswa dan mahasiswi UTM yang terdiri daripada anak Terengganu kepada Dato' Ahmad. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan RM100 ribu kepada pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menaja pelajar Terengganu mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengumumkan berita gembira ketika majlis temu mesra mahasiswa mahasiswi dan staf anak Terengganu bersama Menteri Besar, di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, Johor malam kelmarin (2 Januari).

Beliau berharap dengan peruntukan besar itu mampu memberi kesan positif dan peningkatan tahap pencapaian akademik pelajar Persatuan Mahasiswa/wi Terengganu (Permata) UTM.


Dato' Ahmad Said bertanya khabar kepada anak Terengganu yang kini mengikuti pengajian di UTM Skudai Johor ketika majlis temu mesra Mahasiswa/i dan staf Terengganu bersama Menteri Besar Terengganu.

Selain RM100,000, kerajaan negeri turut meluluskan dana khas RM15,000 bagi menggerakkan aktiviti dan menjaga kebajikan ahli Permata UTM.

“Dengan peruntukan besar itu saya harap kuota anak Terengganu yang berjaya dalam akademik selain dapat meneruskan pengajian ke luar negara lebih besar berbanding negeri lain.

“Malah, peruntukan lawatan ke luar negara RM100 ribu mungkin ditambah lagi jika perlu dan kerajaan negeri akan membincangkan perkara itu secara terperinci selepas ini,” kata beliau.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Naib Canselor UTM, Profesor Ir Zaini Ujang; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail; Presiden Permata UTM Mohd Faizal Mustafa.


Ribuan anak Terengganu yang mengikuti pengajian di UTM Johor begitu bertuah kerana dapat berjumpa dengan pemimpin nombor satu Terengganu.

Dalam majlis itu, pelajar Permata UTM kemudiannya menyerahkan plak tanda sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri dan baju kenang-kenangan kepada beliau sebelum majlis berakhir.

Selain itu, pelajar berkenaan turut berpeluang mengemukakan soalan dan pandangan secara terus kepada Menteri Besar menerusi slot sesi dialog.

Sikap terbuka kepimpinan kerajaan juga terserlah apabila Menteri Besar dengan bersahaja memaklumkan dua nombor telefon peribadi beliau kepada pelajar UTM bagi memudahkan mereka berinteraksi sama ada untuk mengemukakan pandangan atau persoalan yang berkaitan pendidikan dan dasar kerajaan negeri.

UKOM