Halaman

06 December 2009

Perebutan Piala Monsun 2009 Bermula

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pasukan Dato' Peter Gilmour mempamerkan kehebatan mengendalikan kapal layar mereka pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung. -Foto Jab.Penerangan Negeri Terengganu

Pembukaan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 berlangsung penuh simbolik dengan paluan gendang dan persembahan seni mempertahankan diri dari pelbagai etnik kaum di negara ini mengiringi 12 pasukan yang berentap merebut piala berprestij dunia itu, dalam kejohanan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, bermula semalam hingga 6 Disember ini.

Perasmian kejohanan disempurnakan Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Ismail. Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.


Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman merasmikan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung sambil diperhatikan oleh Datuk Zaabar.

Juragan utama yang berentap bagi kejohanan itu adalah Dato’ Peter Gilmour (Austarlia) dari YANMAR Racing; Mathieu Richard (Perancis) dari French Match Racing; Adam Miniprio (New Zealand) ETNZ/BlackMatch; Ian Williams (Jerman) dari Pindar dan Torvar Mirsky (Australia) dari Mirsky Racing.

Pelayar lain, Ben Ainslie (Jerman) dari Origin; Damien Lehl (Perancis) dari French; Sebastian Co (Perancis) dari ALL4 One; Magnus Holmberg (Sweden) dari Victoria Challenge; Francesco Bruni (Itali) dari pasukan Azzura dan Phil Robetson (New Zealand) dari pasukan New Zealand WAKA Racing.


Dua pasukan beraksi pada hari pertama Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Buat julung kalinya, Malaysia mempertaruhkan pasukan Taring Pelangi yang diketuai pelayar muda, Hazwan Hazim Dermawan bersama empat krew iaitu Mohd Rezaki Shuib, Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Hilmi, Shahrizal Hashim dan Mohd Saifullah Mohd Esa.

Pertandingan bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir dua jam kemudian, menyaksikan semua pasukan berdepan dengan cabaran getir mengawal kapal layar masing-masing berikutan angin yang pada awalnya sederhana bertukar kencang dengan kelajuan 15 knot, selain berdepan arus yang kuat.

Persaingan pada hari pertama semalam menyaksikan enam pasukan yang diketuai Adam Minorpio, Torvar Mirsky, Dato’ Peter Gilmour, Ben Ainsten, Mathieu Richard dan Ian Williams mempamerkan kehebatan dengan masing-masing mengumpul tiga mata dan kini hanya memerlukan tiga kemenangan lagi untuk ke suku akhir petang ini.


Ahli Kapal Perahu Layar Terengganu turut mengadakan demonstrasi mengendalikan kapal layar pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun merupakan siri kesembilan pelayaran profesional utama dalam World Match Racing Tour (WMRT) yang dijalankan di serata dunia.

Sehingga kini sembilan negara terlibat adalah Perancis, Jerman, Korea, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan terakhir, Malaysia (Pulau Duyong, Kuala Terengganu) mengambil tempat penganjuran siri terakhir WMRT.

UKOM