Halaman

09 December 2009

Kerajaan Sedia Bantuan Bencana Terbaik

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato'Seri Mohd Najib menyampaikan bantuan ihsan kepada seorang mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu. - Foto JABATAN PENERANGAN NEGERI TERENGGANU.

Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyifatkan kerajaan negara ini merupakan kerajaan terbaik di dunia dalam memberi bantuan kepada rakyatnya yang ditimpa bencana.

“Saya berani menyatakan demikian kerana di negara-negara maju sekalipun, bantuan seumpama ini tidak berlaku dengan baik dan ini menunjukkan bahawa kerajaan amat mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Bencana Banjir Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, pada 6 Disember lalu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan bantuan sebanyak RM300 kepada 363 mangsa banjir di sekitar Kuala Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan pemimpin setempat.

Penerima bantuan melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan yang membantu terutama kesanggupan Perdana Menteri turun padang menemui mereka.

“Inilah pemimpin dan kerajaan yang dicita-citakan oleh rakyat selaras dengan slogan rakyat didahulukan,” kata mereka.

Dato’ Seri Mohd Najib juga memaklumkan Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukan RM55.6 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana.

“Pengagihan bantuan ehsan akan dibuat secara adil kepada semua mangsa sama ada mereka berpindah atau tidak akibat banjir,” tegasnya.

Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat bergantung kepada perkembangan semasa keadaan banjir yang sering melanda negara kebelakangan ini.

Malah, Kerajaan Pusat serta negeri akan sentiasa menyediakan bantuan kepada rakyat yang menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk bantuan dan juga keadaan.

“Jika dinilai bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir ia merangkumi bantuan yang menyeluruh termasuk penempatan perpindahan yang selesa, penyediaan pelbagai jenis makanan, bantuan membaiki kerosakan harta benda dan wang tunai,” katanya lagi.

Setiap pengagihan perlu disahkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dengan kerjasama agens-agensi kerajaan yang lain bagi membolehkan mereka menerima wang ihsan berkenaan.

Perdana Menteri juga menyarankan supaya pembangunan yang lebih lestari amat perlu dilakukan oleh semua pihak bagi mengelak kejadian banjir.

UKOM