Halaman

08 November 2009

MB Lawat Mangsa Banjir

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Dato' Ahmad bertanya khabar mangsa banjir yang kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Payung, Besut ketika membuat tinjauan di Hulu Besut. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengkaji jalan Jertih – Keruak bagi tujuan menaik taraf jalan berkenaan agar penduduk di kawasan hulu Besut tidak terputus hubungan apabila berlaku banjir.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, kerajaan negeri sedia melululuskan peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan bagi menjaga kepentingan rakyat, khususnya penduduk di hulu Besut yang sering terputus hubungan setiap kali berlaku banjir.


Penduduk mengharungi banjir untuk berpindah ke tempat selamat selepas Kampung Gong Duek, Besut, dinaiki air.

“Kita akan minta JKR supaya mengenal pasti kawasan yang sering ditenggelami banjir dan membuat penilaian kos,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, petang ini (6 November).

Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kampung di hulu Besut ditenggelami air dan kira-kira 800 penduduk berpindah ke pusat pemindahan.

Warga emas dari Kampung Keruak menceritakan pengalaman kepada Menteri Besar selepas rumahnya dilimpahi air.

Menteri Besar yang diringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad dan Adun Jabir, Haji Ramlan Ali, terpaksa menaiki lori Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dari Pasir Akar ke Bukit Payong kerana banyak kawasan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Hajat Menteri Besar dan rombongan untuk meninjau banjir di Kampung Oh juga tidak kesampaian kerana kenderaan berat tidak boleh lalu di beberapa kawasan jalan menuju kampung itu kerana ditenggelami air sedalam lebih satu meter.


Beliau yang terapksa berpatah balik meneruskan perjalanan menaiki lori hingga ke pekan Jertih bagi meninjau sendiri kawasan jalan yang ditenggelami air.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penduduk di kawasan yang ditenggelami air banjir supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak bekuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.


Jalan Kampung Duek-Bukit Payong, Besut terputus hubungan kerana banjir.

Beliau meminta ibu bapa agar mengawasi anak-anak dan tidak leka bermain air banjir kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku pada musim bah.

UKOM