Halaman

20 October 2009

Sambut Deepavali Di Sungai Nerus

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

“Saya tetap seronok menyertai kayak di Sungai Nerus sambil mengenali budaya kampung ini walaupun terpaksa melupakan kemeriahan sambutan Deepavali bersama keluarga di Kuala Lumpur,” kata Ranzini Munisamy, 20, dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), ketika ditemui TeganuKita, di Dataran Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu, malam kelmarin (16 Oktober).




Ranzini pelajar Tahun Pertama Jurusan Sains Marin bersama kira-kira 60 penuntut UMT, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan Kolej Komuniti Kuala Terengganu mula berkayak menyusuri Sungai Nerus dan berhenti di Taman Tamadun Islam sebelum meneruskan kayuhan sehingga ke Seberang Takir sempena Program Kayak Merdeka Ke-8 2009.

Program ekspedisi berkayak sempena 52 tahun kemerdekaan negara selama dua hari bermula 16 Oktober itu berupaya mendedahkan peserta dengan pengalaman menerokai keindahan dan hidupan sepanjang sungai menerusi ekspedisi.


Datuk Abdul Rahin (tengah) memberi semangat kepada peserta kayak yang terdiri daripada penuntut UMT di tebing Sungai Nerus berhampiran Kampung Jeram. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Malah, peserta juga diberi peluang terlibat dengan masyarakat setempat dalam usaha memperkenalkan universiti kepada komuniti yang ada di sekitar Terengganu.

Ranzini yang ceria sepanjang menyertai program itu turut berbangga kerana dapat mengenali masyarakat kampung Jeram dan menikmati makanan Melayu yang menyelerakan sekaligus melupakan menu tosai, halwa dan laddu selain upacara `Rangoli’ yang menjadi keutamaannya sempena `perayaan cahaya' setiap tahun.



Sementara Teow Boon Shyan, 20, dari Kedah juga menerokai pengalaman baru dan dapat berkumpul bersama bangsa lain bagi melnjayakan program yang julung kali disertainya, apatah lagi program kali ini melibatkan penduduk kampung berhampiran.

“Penduduk kampung di sini sungguh ramah dan melayani kami dengan baik. Walaupun berbangsa Cina saya tidak kekok menyesuaikan diri dengan mereka serta rakan peserta yang kebanyakannya bangsa Melayu.

“Saya tidak sabar lagi untuk memulakan aktiviti kayak ini, malah tidak mungkin melepaskan peluang jika program seumpama ini diadakan lagi selepas ini,” kata penuntut Tahun Pertama Sains Samudera UMT itu.



Manakala Azaman Mohd Jamudir, 21, dari Segamat, Johor pula berpendapat program bersama komuniti setempat harus digalakkan lagi kerana pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa dapat mengenali adat dan budaya masyarakat lain.

“Program ini bukan sahaja menjadikan peserta lebih berkeyakinan dan berani, malah dapat mendedahkan kita kepada dunia luar kampus yang mempunyai pelbagai tarikan dari aspek sosio budaya dan alam semula jadinya.

“Apa yang penting, pelbagai pengisian sepanjang program ini dapat menarik minat penduduk untuk sama-sama terlibat dan berganding bahu menjayakan sebarang aktiviti dengan lancar dan meriah,” kata penuntut Pengurusan Pemasaran UMT.

Program dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said. Turut hadir, isteri beliau, Datin Haslina Ab Rashid serta pemimpin setempat.

UKOM