Halaman

11 October 2009

Melaka Tuan Rumah Kejohanan Terbesar Asia

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menjadi tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal Gunung Asia Ke-15 dan Kejohanan Lumba Basikal Gunung Junior Asia pertama di Melaka pada 5 hingga 8 Nov ini. Dalam kenyataan Isnin, presidennya Abu Samah Abdul Wahab berkata ini merupakan kali kedua PKBM menjadi tuan rumah acara yang dianjurkan Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) itu.

Hutan Rekreasi Ayer Keroh, yang dahulunya dikenali sebagai Taman Botani Ayer Keroh, dikenal pasti sebagai venue bagi acara merentas desa, manakala acara menuruni bukit akan berlangsung di Bukit Beruang.

Kejohanan itu dijangka disertai pelumba dari 20 negara dan setakat ini, sembilan negara -- Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Iran dan Malaysia -- telah mengesahkan penyertaan.

"Kejohanan ini penting kerana ia bukan saja akan menentukan siapakah yang menjadi juara Asia, tetapi juga merupakan sebahagian daripada kejohanan peringkat benua di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang memberi peluang kepada penunggang mengumpul mata ranking," kata Abu Samah.

Beliau berkata kejohanan itu juga akan memberi pendedahan kepada penunggang basikal gunung tempatan berlumba dengan pelumba terbaik Asia.

"Melalui pendedahan yang secukupnya, kami boleh meningkatkan kesedaran tentang acara berbasikal gunung, yang belum banyak mendapat sokongan, walaupun ia mempunyai banyak peminat di seluruh negara," kata Abu Samah.

Kejohanan itu akan menjadi medan latihan bagi skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan berbasikal gunung pada Sukan SEA Laos Disember ini.

"Kami harap para pelumba kebangsaan akan mempamerkan prestasi membanggakan pada kejohanan ini. Kami ada juara Asia dan pelumba trek seperti Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin, yang telah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia. Oleh itu, bukan sesuatu yang mustahil bagi penunggang basikal gunung mencapai kejayaan serupa," katanya.

-- BERNAMA