Halaman

19 October 2009

Bahasa Menggambarkan Citra Bangsa

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Semua pihak berkuasa tempatan digesa supaya memastikan penggunaan bahasa di tempat-tempat awam di negeri ini mampu menggambarkan citra bangsa negeri Terengganu.

“Penggunaan bahasa, baik pada papan tanda niaga, nama kawasan perumahan mahupun papan penunjuk arah tidak harus menggambarkan bahawa kita seolah-olah berada di Hong Kong ataupun di Hawaii,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Terengganu di Unversiti Darul Iman Kampus Kusza (UDM), petang kelmarin (12 Oktober).

Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Haji Mohd Yusof Ishak dan Timbalan Naib Canselor UDM, Prof. Dr Yahya Ibrahim.

Katanya, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan bandar Kuala Terengganu sebagai kota budaya, yang secara nyata memancarkan citra budaya bangsa dan kerajaan sedia bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka memberi suntikan baru dalam gerakan memperkukuh bahasa kebangsaan.

“Sebagai agensi bertanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa bekerjasama dengan institusi-institusi daripada sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan untuk menggerakkan pelbagai aktiviti bahasa dan kesusasteraan untuk khalayak,” katanya.

Katanya, melalui kerjasama antara institusi akan timbul kesedaran dan tanggungjawab bersama dan melalui aktiviti pula akan bersama turun padang untuk menyampaikan amanat perpaduan dan patriotisme kepada rakyat pelbagai kaum dan etnik.

Dato’ Ahmad kemudiannya menyarankan agar pihak yang berkewajipan menggunakan teknologi baru seperti internet, TV Web dan seumpamanya supaya mengadakan aktiviti yang lebih luas penyebarannya kepada masyarakat dalam dan luar negara bagi menyemarakkan bulan bahasa.

“Sukalah saya menyeru seluruh rakyat agar mempertingkatkan kemahiran berbahasa Melayu, mengapresiasi nilai-nilai seni, keindahan dan kemurnian yang terungkap dalam sastera kita sekaligus memperbanyakkan penerbitan dalam bahasa Melayu demi memanifestasikan kecintaan terhadap bahasa kita,” katanya.

Katanya, kempen kesedaran melalui media eletronik dan media cetak seharusnya memaparkan slogan seperti ‘saya bangga menjadi rakyat Malaysia’ dan ‘saya akan menggunakan bahasa kebangsaan yang betul’ moga terungkaplah slogan keramat ‘bahasa jiwa bangsa’ dalam jiwa seluruh rakyat di negeri ini.

UKOM