Halaman

18 August 2009

Umno, PAS Diingatkan Jangan Cemar Kesucian Ramadan Semasa Berkempen

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Umno dan PAS diingatkan supaya tidak mencetuskan insiden yang boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadan ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kedua-dua parti berkenaan perlu berkempen secara berhemah terutama yang menyentuh soal agama, kerana pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan puasa.

"Janganlah...ada insiden yang mencemarkan kesucian agama, sistem demokrasi serta kredibiliti dan kedudukan pemimpin-pemimpin parti yang terlibat," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pada beberapa pilihan raya kecil lepas, yang melibatkan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, tiada insiden besar yang mencemarkan proses pengundian tersebut.

"Pagi ini saya berjumpa dengan (Naib Presiden PAS) Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin PAS dan mereka bersetuju mengenai perkara itu.

"Malah, semasa proses penamaan calon (DUN Permatang Pasir) pagi ini, saya difahamkan semuanya berjalan lancar. Yang timbul masalah apabila kita (BN) berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS. BN diwakili Rohaizat Othman manakala Mohd Salleh Man mewakili PAS.

-- BERNAMA